Helikopter Nuri masih selamat digunakan – Tim Menteri Pertahanan

Helikopter Nuri TUDM mempunyai rekod cemerlang tetapi berlaku juga kemalangan - Johari Baharum.
Helikopter Nuri TUDM mempunyai rekod cemerlang tetapi berlaku juga kemalangan – Johari Baharum.
Johari Baharum
Johari Baharum

TAWAU – Insiden helikopter Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendarat cemas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balung di sini Selasa pagi tidak menjejaskan penggunaan pesawat itu.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Johari Baharum berkata helikopter Nuri yang digunakan TUDM masih dalam keadaan baik dan boleh terus digunakan.

Katanya tiada masalah berhubung jangka hayat helikopter Nuri TUDM disebabkan ia diselenggara dengan baik oleh pihak yang dipertanggungjawabkan.

“Helikopter Nuri TUDM mempunyai rekod cemerlang tetapi berlaku juga kemalangan. Faktor helikopter baharu dan lama bukan menjadi ukuran dalam kemalangan membabitkan pesawat,” katanya ketika ditemui pemberita ketika melawat lokasi insiden helkopter Nuri mendarat cemas di SMK Balung, di sini hari Rabu.

Beliau meluangkan masa sejam melawat lokasi kejadian bagi melihat sendiri badan pesawat dan bangunan sekolah yang mengalami kerosakan.

Hadir sama, Timbalan Panglima TUDM Lt Jen Datuk Seri Affendi Buang dan Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan Kementerian Pertahanan Datuk Mohammad Foad Abdullah.

Johari berkata laporan awal siasatan insiden itu akan disiapkan lembaga siasatan dalam tempoh sebulan.

Menurutnya ia termasuk mengenal pasti punca insiden itu sama ada disebabkan masalah teknikal dan kecuaian manusia.

Beliau berkata jangka hayat helikopter Nuri TUDM bukan menjadi faktor bagi menentukan ia boleh digunakan atau tidak.

Katanya Kementerian Pertahanan ada membeli 12 Eurocopter EC725 tetapi tidak boleh digunakan kerana semua perkhidmatannya digantung disebabkan berlaku kemalangan membabitkan pesawat sama di Norway.

Dalam kejadian semalam, sebuah helikopter Nuri TUDM mendarat cemas di bumbung dewan terbuka di SMK Balung menyebabkan 22 orang cedera iaitu 13 anggota TUDM, lapan pelajar dan pekerja pembersihan SMK Balung.