Helikopter Jatuh: SMK Balung Ditutup Ekoran Peristiwa Ngeri Itu

Beginilah keadaan di SMK Balung selepas helikopter Nuri terhempas pagi Selasa.
Beginilah keadaan di SMK Balung selepas helikopter Nuri terhempas pagi Selasa.

TAWAU – Sekolah Menengah Kebangsaan Balung di sini ditutup hari Selasa bagi membolehkan pihak polis melakukan pemantauan berhubung kejadian sebuah helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terjatuh ke atas bumbung Pusat Kemahiraan Hidup sekolah itu pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus memberitahu pemberita di tempat kejadian, pihak bomba dan penyelamat serta agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam dan Hospital Tawau telah membuka pusat kawalan operasi bagi menjalankan tugas pemantauan.

Beliau berkata turut memantau ialah Jabatan Pendidikan Negeri.

“Kita mendapat laporan terdapat beberapa pelajar trauma susulan kejadian itu kerana ia berlaku ketika sesi pembelajaran,” katanya.

Selain bumbung pusat itu, difahamkan sebuah dewan yang sedang dalam pembinaan turut rosak.

Seorang guru ynag enggan dikenali berkata beliau sedang mengajar apabila terdengar bunyi dentuman kuat.

“Tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman kuat yang saya agak datang tidak jauh dari pejabat guru,” katanya.

Kejadian melibatkan sebuah bangunan tiga tingkat yang menempatkan kelas Tingkatan 4 dan 5.