Helikopter Berpusing Beberapa Kali Sebelum Terhempas

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Helikopter Agusta Westland AW139 dikatakan berpusing beberapa kali sebelum terhempas di Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau, di sini hari ini.

Menurut saksi yang mahu dikenali sebagai Wong, 60, berkata, ketika kejadian dia berada di rumah di Jalan Muhibbah Raya sebelum terdengar bunyi kuat di udara.

“Memang biasa helikopter yang hendak mendarat di situ (Batalion 14 PGA Tawau) akan terbang agak rendah dan melintasi kediaman saya.

“Bagaimanapun, bunyi helikopter kali ini terlalu kuat sehingga saya terpaksa keluar dari rumah untuk melihat punca bunyi tersebut,” katanya kepada Borneo Today.

Tambah Wong, dia sempat melihat ekor helikopter terbabit sebelum ia berpusing beberapa kali dan hilang dipercayai terhempas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, kejadian berlaku pada pukul 7.30 malam membabitkan sebuah helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM), dinaiki enam penumpang terdiri daripada anggota Pasukan Gerakan Udara (PGU) dari Kota Kinabalu dan seorang jurutera.

“Terdahulu, pasukan tersebut bergerak menaiki helikopter bagi menjalankan operasi rutin, bergerak dari Lahad Datu ke Lapangan Terbang Tawau untuk mengisi minyak, sebelum meneruskan perjalanan ke Batalion 14 PGA Tawau untuk bermalam di situ.

“Bagaimanapun, helikopter berkenaan hilang kawalan secara tiba-tiba dan terhempas di lokasi kejadian,” katanya.

Tambah Peter, hanya seorang mangsa yang dilaporkan tersepit, namun berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba.

“Semua mangsa dihantar ke Hospital Besar Tawau untuk rawatan lanjut dan dilaporkan selamat.

“Selain itu, nahas tersebut turut menyebabkan kerosakan pada bumbung bangunan pentadbiran Unit Anjing Pengesan K9.

“Setakat ini, polis masih menjalankan siasatan punca kejadian,” katanya.

Menurut Peter, pihak turut mengaktifkan pusat kawalan di lokasi nahas serta merta bagi mengawal keadaan di situ.