Hazani: Tidak Boleh Halang Pesakit Covid-19 Mengundi, Perlu Perhalusi SOP

Oleh AZIS KHAN
KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata mengundi adalah hak rakyat dan tidak boleh dihalang.

Sehubungan itu katanya, perbincangan rapi akan dilakukan bersama Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara jika ada pesakit Covid-19 yang mahu menunaikan tanggungjawab.

Katanya, perkara itu perlu diperhalusi untuk memastikan keselamatan semua pihak.

“Terang dan jelas setiap rakyat memang ada hak untuk mengundi, perkara ini saya sudah bincang dengan pihak KKM Sabah dan MKN untuk kita perhalusi apakah bentuk tindakan kita perlu ambil kalau pesakit positif Covid-19 untuk datang mengundi.

“Sebab ia akan menyusahkan banyak pihak pasukan keselamatan, pihak kesihatan dan pihak-pihak seperti pusat pilihan raya nanti,” katanya dalam sidang media, di Ibu Pejabat Kontinjen Sabah (IPK) Sabah, hari ini.

Beliau berkata, polis akan melakukan perbincangan itu untuk mendapatkan kelulusan daripada pihak atasan.

“Bukan kita nak nafikan, semua rakyat ada hak untuk mengundi, cuma kita perhalusi sebab ini pertama kali.

“Saya tengok balik seperti Pilihan Raya Negeri (PRN) Kecil di Slim dan Chini. Saya rasa pesakit Covid-19 tidak keluar mengundi, tidak dibenarkan.

“Begitu juga banduan, yang keluar mengundi atas budi bicara Ketua pengarah Penjara, keluar mengundi atau tidak,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan akan memperhalusi perkara itu dengan SPR, KKM dan MKN.

BERITA BERKAITAN :-

Shafie: Maksud Saya SPR Sediakan SOP Mengundi Di Pusat Kuarantin