Hari Malaysia Kali Ini Beri Harapan Baru Untuk Masa Depan Lebih Cerah

3060

By SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal menyarankan rakyat di negeri ini supaya mengekalkan perpaduan dan kepelbagaian yang ada demi kestabilan politik dan kemakmuran negara.

Katanya, beliau tidak mahu rakyat menjadikan perbezaan yang ada itu sebagai penghalang untuk mencapai kemajuan.

“Jangan jadikan perbezaan sebagai penghalang untuk maju. Sebaliknya, raikan perbezaan itu untuk mencari titik persamaan. Kepelbagaian agama, budaya dan tradisi adalah aset yang bernilai tinggi dan merupakan sumber kekayaan sebuah negara bangsa yang merdeka,” katanya dalam Perutusan sempena Hari Malaysia 2018, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata sempena sambutan Hari Malaysia ini, beliau mengajak rakyat Malaysia khususnya di Sabah supaya terus komited kepada semangat kemerdekaan itu sendiri untuk membina sebuah kerajaan yang kukuh, makmur dan bersatu padu. Hakikat ini mengambil kira masyarakat yang terdiri dari pelbagai budaya, kaum dan agama.

“Kejayaan kita bergantung kepada perpaduan masyarakat yang berbilang kaum dan kepercayaan kerana jika kita biarkan isu perkauman berlanjutan, ia akan menyebabkan negara berpecah dan kita tidak akan dapat mencapai kemajuan dan kegemilangan,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri juga akan terus memperkasakan hubungan dengan Kerajaan Pusat bagi memastikan pembangunan negara bangsa dapat direalisasikan.

Menurutnya, hubungan antara Kota Kinabalu dan Putrajaya harus utuh dan padu demi kemajuan Malaysia sejati. Laut China Selatan tidak harus jadi pemisah, sebaliknya menjadi penyatu bagi sebuah kerajaan yang berjiwa rakyat.

“Oleh yang demikian, kerajaan Sabah akan terus berunding dan berbincang dengan Kerajaan Persekutuan untuk memperhebatkan lagi agenda pembangunan negeri selain memastikan segala hak dan kepentingan menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus dijunjung bersama,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga komited untuk melonjakkan pembangunan dan ekonomi negeri ini dengan menumpukan kepada pengukuhan kewangan menerusi perancangan dan pengurusan fiskal.

Katanya, sejak kerajaan baharu mengambil alih pemerintahan negeri, banyak pelabur menunjukkan minat untuk melabur di negeri ini terutama dalam sektor-sektor strategik. Kerajaan juga akan memastikan sumber ekonomi berasaskan komoditi dimantapkan.

Disamping itu, kerajaan akan turut mengemaskini jentera dan pentadbiran di pelbagai jabatan dan agensi secara berperingkat bagi memperbaiki sistem penyampaian dan mengurangkan karenah birokrasi.

Mengenai tarikh sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang sering menjadi pertikaian sesetengah pihak, Shafie berkata, semua orang tahu pembentukan Malaysia adalah pada 16 September 1963.

“Oleh itu, janganlah kita terlalu terpengaruh dengan emosi sehingga kita terlupa apa yang lebih penting adalah menyelami makna kemerdekaan dan menterjemahkannya kepada tindakan dan perbuatan kita sebagai rakyat Malaysia yang sayangkan negara.

“Sambutan Hari Malaysia ini bukan hanya mengingatkan kita tentang identiti kebangsaan kita sebagai rakyat Malaysia, tetapi lebih penting untuk bersama-sama membawa negara ini ke mercu kejayaan.

“Kita sudah sekian lama bebas daripada belenggu penjajahan asing dan ini bermakna tanggungjawab untuk menentukan arah tuju masa hadapan sudah berada di tangan kita sendiri. Kita bebas untuk membuat keputusan dan membina negara mengikut acuan sendiri. Kita bebas memilih kerajaan baharu secara aman.

“Tahun ini kita menyambut Hari Malaysia dengan penuh semangat kemerdekaan. Rakyat Malaysia berjaya mencapai sesuatu yang amat signifikan dimana, kita merdeka daripada cengkaman rasuah dan kita punya harapan baru untuk masa hadapan yang lebih cerah,” jelasnya.

Dengan itu, rakyat harus bersama-sama memberi sokongan kepada kerajaan baharu sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan dalam membawa sinar perubahan yang diimpikan oleh semua rakyat.

Shafie melahirkan ucapan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat di negara ini.