Hari Komuniti Platform Terbaik Promosi Kepelbagaian Warisan Budaya

63
Ewon disambut mesra pada majlis itu.

KUNDASANG: Hari Komuniti adalah platform terbaik untuk mempromosi kepelbagaian warisan budaya komuniti khususnya dari segi tarian, pakaian, makanan dan sukan tradisi, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick.

Sehubungan itu beliau berharap agar penganjuran Hari Komuniti dapat menyemarakkan lagi semangat generasi muda mengekalkan warisan budaya yang hampir pupus.

“Saya melihat Hari Komuniti ini sebagai platform terbaik kepada komuniti untuk berkongsi dan mempromosikan kepelbagaian warisan budaya masing-masing yang semakin dilupakan generasi muda.

Ewon melawat pameran pada majlis itu.

“Oleh itu adalah menjadi harapan saya agar penganjuran Hari Komuniti dapat menyemarakkan lagi semangat generasi muda untuk menghidupkan dan mengangkat semula warisan budaya masing-masing yang semakin pupus kerana ia melambangkan identiti komuniti sekitar Taman Kinabalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Komuniti Taman Kinabalu Ke-9, di Dewan Taman Kinabalu, dekat sini, pada Isnin.

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah Fredian Gan, Pegawai Daerah Kota Belud Diyannah Abdullah, Timbalan Pengarah 1 Taman-Taman Sabah Dr.Maklarin Lakim, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan, pemimpin-pemimpin setempat dan para peserta Ziarah Gunung Kinabalu 2019.

Ewon bergambar bersama penduduk kampung yang mengusahakan produk kraftangan.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian merakamkan penghargaan kepada pengurusan Taman Kinabalu atas usaha proaktif dan inovatif mencari peyelesaaian terhadap isu-isu melibatkan kepentingan komuniti.

“Keputusan pengurusan Taman-Taman Sabah menjadikan Ziarah Gunung Kinabalu atau ‘Kakapan Id Gayo Ngaran’ sebagai aktiviti tahunan komuniti yang tinggal berhampiran sempadan Taman Kinabalu sejak 2010 dan Hari Komuniti yang diadakan sekali dalam dua tahun merupakan salah satu contoh keprihatinan pengurusan Taman terhadap permasalahan komuniti,” katanya.

Katanya lagi, pada tahun ini seramai 55 komuniti diberi peluang mendaki sehingga ke puncak Gunung Kinabalu berbanding hanya 35 orang pada 2017 manakala penziarah harian pula adalah seramai 600 orang melibatkan 35 kampung berbanding hanya 25 kampung pada 2017.

Ewon menyampaikan sumbangan touchpoint kepada wakil Persatuan Malim Gunung pada majlis itu.

“Pertambahan kouta penziarah pada tahun ini membuktikan komitment Taman-Taman Sabah memenuhi aspirasi komuniti di sekitar Taman Kinabalu agar dapat meneruskan aktiviti tradisi yang dipanggil dalam bahasa Dusun “kakapan id gayo ngaran”.

“Pada tahun 2017, hanya 25 buah kampung mengambil bahagian dalam acara ini tetapi tahun ini bertambah kepada 35 buah kampung. Ini menunjukkan semangat kerjasama penduduk kampung sekitar Taman Kinabalu kepada Taman-Taman Sabah untuk sama-sama menjaga warisan, kebersihan dan keindahan Taman Kinabalu bukan hanya sebagai punca pendapatan mereka tetapi warisan generasi akan datang,” katanya.

Ewon berkata, sebagai wakil rakyat yang mewakili banyak kampung yang bersempadan dengan Taman Kinabalu dan anak jati kampung kawasan itu, beliau mencadangkan agar Hari Komuniti diadakan setiap tahun atau pengisian acara itu ditambahbaik.

“Ini kerana, acara Hari Komuniti Taman Kinabalu adalah platform terbaik untuk mengingatkan tanggungjawab kita untuk sama-sama membantu kerajaan khususnya Taman-Taman Sabah menjaga dan memulihara warisan kawasan ini.

“Dari segi pengisian aktiviti, ia boleh dikembangkan dengan melibatkan lebih banyak jabatan dan agensi kerajaan atau menjemput syarikat-syarikat pelancongan yang boleh bekerjasama dengan komuniti kampung yang mengusahakan eko pelancongan,” katanya.

Beliau juga berharap Hari Komuniti Taman Kinabalu dapat dimasukkan dalam kalender pelancongan Sabah agar lebih ramai pelancong mengetahuinya dan secara tidak langsung akan mempromosi produk pelancongan luar bandar yang diusahakan komuniti di 35 buah kampung kawasan itu.

Pada majlis itu, Ewon turut menyampaikan sumbangan touchpoints sebanyak RM10,000 kepada Persatuan Malim Gunung untuk keperluan asrama ahli persatuan itu di Laban Rata dan keperluan-keperluan lain.

“Saya gembira dapat berjumpa dengan ahli-ahli Persatuan Malim Gunung dan Persatuan Porter Gunung Kinabalu. Sebahagian mereka adalah rakan komuniti yang saya kenali sejak dahulu lagi dan saya juga pernah menjadi porter Kinabalu semasa masih bersekolah dahulu,” katanya.