Hari Ke-7 PKP Dilaksana, Pusat Bandaraya Lenggang

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Memasuki hari ketujuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa, suasana sekitar pusat bandaraya masih lenggang, sama seperti hari-hari sebelumnya.

Sejak PKP dilaksana (18 hingga 31 Mac), tiada lagi kesesakan lalu lintas, tiada lagi orang berpusu-pusu di pasar raya mahupun pasar awam serta tidak ramai orang lalu lalang seperti kebiasaannya.

Tinjauan sekitar Pasar Besar Kota Kinabalu, Pasar Ikan SAFMA, pusat membeli-belah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) mendapati keadaan agak sepi tanpa kehadiran ramai pengunjung.

Di KKIA, suasana lapangan terbang kedua tersibuk di Malaysia itu sangat sunyi sejak PKP dan penularan wabak Covid-19 berlaku.

Sekatan penerbangan telah dikeluarkan oleh kerajaan negeri bagi menyekat penerbangan dari luar negara, Semenanjung Malaysia mahupun penerbangan domestik antara daerah-daerah di Sabah.

Manakala, suasana di Pasar Ikan SAFMA juga lenggang dengan hanya beberapa orang pelanggan sahaja dilihat sibuk memilih ikan yang ingin dibawa pulang.

YUSRI

Bagi penjual ikan yang hanya mahu dikenali sebagai Yusri,34, suasana di pasar ikan itu memang sunyi sejak arahan PKP dikeluarkan oleh kerajaan.

Katanya, jika dibandingkan dengan hari biasa, sekarang ini boleh dikatakan 40 peratus sahaja pelanggan yang datang membeli ikan kerana mematuhi arahan PKP.

Menurutnya, sejak PKP berkuatkuasa pada 18 Mac, bekalan ikan daripada nelayan juga amat kurang.

Katanya, waktu operasi pasar itu hanya dari 6 pagi sehingga 2 petang maka, mana-mana jualan yang tidak habis akan cuba dijual pada hari berikutnya.

“Bekalan ikan yang ada terpaksa dihabiskan kerana ikan tidak boleh disimpan terlalu lama. Jika boleh habis dalam dua atau tiga hari, kira baguslah.

“Tapi sejak PKP dilaksana, bekalan ikan memang kurang. Apa boleh buat, sudah kerajaan tetapkan begitu jadi kita mesti terima dan akur dengan perintah yang dikeluarkan,” katanya ketika ditemui Borneo Today,  di sini hari ini.

Menurutnya, sebagai langkah menjaga keselamatan diri daripada jangkitan wabak Covid-19, penjual ikan juga perlu memakai topeng penutup hidung dan mulut serta sarung tangan.

MOHAMAD NASIP

Mengenai garisan yang disediakan di luar pasar itu, Yusri berkata, garisan itu bertujuan untuk memastikan pelanggan berbatur dalam jarak selamat ketika hendak membeli ikan.

Namun, ianya hanya digunakan jika keadaan terlalu sesak dengan orang. Buat masa ini, jumlah pelanggan tidak ramai jadi, tiada keperluan untuk mereka beratur sebelum masuk ke pasar.

Bagi seorang pelanggan, Mohamad Nasip,52, yang bekerja di Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), sudah lebih seminggu beliau tidak turun ke pasar ikan.

“Hari ini saya terpaksa turun sebab bekalan makanan sudah habis.

“Saya turun jika ada keperluan kerana ada juga makanan kering di rumah. Jika tiada keperluan penting, saya tidak turun kerana kita perlu ikut arahan PKP,” katanya.

Di Pasar Besar Kota Kinabalu, hanya satu laluan masuk dan satu laluan keluar dibenarkan bagi memastikan keselamatan orang ramai terjamin.

RAZMI RAMLI

Bagi petugas Bahagian Pengurusan Penjaja & Pasar, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Razmi Ramli, 40, yang bertugas menjaga orang keluar dan masuk pasar, keadaan di pasar itu agak terkawal.

Biarpun pada hari pertama pelaksanaan PKP, banyak juga yang berkeras kerana prosedur yang dilaksana DBKK dianggap memenatkan. Namun, sekarang ini semua orang sudah faham dengan keadaan semasa.

Dipintu masuk pasar terdapat garisan untuk orang beratur yang ditetapkan dan setiap pengunjung akan disembur dengan sanitizer.

“Sekarang orang awam sudah faham dan mengikut arahan yang diberikan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan mereka akur dengan arahan tersebut,” katanya.

Di Pusat Membeli-belah Centre Point, kebanyakan  premis tutup, hanya farmasi dan premis perniagaan dalam perkhidmatan penting sahaja yang beroperasi.

Seorang pekerja farmasi dikenali sebagai Ivy berkata, memang keadaan sunyi sejak hari pertama PKP berkuatkuasa.

Katanya, pelanggan yang datang pun hanya satu atau dua orang sahaja.

Namun, mereka tetap beroperasi kerana masih ada orang yang memerlukan ubat-ubatan sepanjang tempoh PKP ini.