Harga RON95, RON97 Naik Lima Sen, Diesel Kekal

KUALA LUMPUR: Harga runcit petrol RON95 dan RON97 masing-masing naik lima sen seliter manakala harga runcit diesel kekal pada RM2.15 seliter bagi tempoh 27 Feb hingga 3 Mac ini.

Harga baharu untuk RON95 kini RM2.05 seliter, manakala RON97 RM2.35 seliter, menurut Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini.

Kementerian Kewangan memaklumkan harga baharu itu adalah berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

“Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan akan mengekalkan paras harga siling RM2.05 seliter bagi petrol RON95 dan RM2.15 seliter bagi diesel walaupun harga runcit APM bagi RON95 dan diesel telah meningkat lebih 10 sen berbanding had harga siling yang telah ditetapkan,” menurut kementerian itu lagi.

Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara, menurut kenyataan itu.