Harapan 6 Lelaki Filipin Masuk Sandakan Secara Haram Dihalang PPM

2165
Enam orang Filipin dari Basilan cuba masuk Sabah secara haram pada Jumaat petang tetapi dihalang oleh Polis Marin. – Gambar ihsan PPM Sandakan

SANDAKAN: Enam lelaki warganegara Filipina berusia antara 16 hingga 53 tahun ditahan ketika cuba memasuki Sabah secara haram menerusi Pamaguan, dekat sini, Jumaat petang.

Sepasukan anggota Pasukan Polis Marin yang melakukan rondaan di perairan terbabit pada jam 3.30 petang menahan lelaki tersebut yang berada dalam sebuah bot laju.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Yazib Abd Aziz, berkata dalam kejadian itu, bot pasukan keselamatan cuba menghampiri bot laju yang sarat dengan muatan dan dalam keadaan mencurigakan.

Bot yang dinaiki enam lelaki Filipin dan seorang juragan yang dapat melarikan diri.

“Bagaimanapun, bot terbabit memecut laju ke tepi pantai sebelum terkandas, manakala juragan bot melarikan diri ke kawasan bakau,” kata ACP Mohd Yazib dalam satu kenyataan kepada media hari Sabtu.

Pemeriksaan mendapati bot berkenaan dinaiki enam lelaki yang tidak memiliki dokumen sah.

Semua lelaki itu mengaku berasal dari Basilan, Filipina selatan dan masuk ke Sabah secara haram.

“Kita turut merampas bot dan enjin digunakan yang keseluruhannya bernilai RM22,000,” tambah beliau.

ACP Mohd Yazib berkata, semua suspek dan barang rampasan dibawa ke markas operasi Pasukan Polis Marin Sandakan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/1963.