Hamzah Tidak Ikhlas Atasi Masalah PATI

Oleh TERTIA JACOB
SANDAKAN: Kenyataan Menteri Dalam Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengenai masalah pendatang asing di Sabah menunjukkan beliau tidak ikhlas untuk menangani isu berkenaan.

Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, berkata sebagai menteri bertanggungjawab dalam isu keselamatan, beliau sepatutnya memeriksa fakta dan tindakan.

Ini kerana, katanya, pada bahagian pertama  Hamzah menjelaskan sedang memperhalusi cadangan IMM13, namun selepas itu Hamzah mengubah haluan dengan menyatakan tidak pernah mengatakan akan ada pengeluaran IMM13.

“Beliau tidak hanya bertentangan dengan diri di Dewan Rakyat, tetapi membuat ‘u-turn’ apa yang telah diumumkan pada 15 Jun lepas.

“Ini sama sekali tidak dapat diterima daripada seorang menteri dan ini juga hanya akan menambah kekeliruan dan kekacauan berkenaan isu ini,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Dalam sidang di Dewan Rakyat semalam, Hamzah menyatakan kerajaan tidak berhasrat untuk mengeluarkan lebih banyak pas IMM13 kepada mereka yang tiada dokumen di Sabah.

Pada 15 Jun lalu ketika lawatan kerja ke Sabah, Hamzah mencadangkan IMM13 sebagai dokumen standard tunggal untuk menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin dan tanpa kewarganegaraan di Sabah.

Shir Yee berkata, jawapan Hamzah itu menunjukkan beliau benar-benar tersasar daripada isu kritikal mengenai pendatang asing di negeri ini yang sudah lama wujud.

Shir Yee turut menegaskan, kerajaan perlu menyediakan perincian bagaimana IMM3 sebagai dokumen standard berupaya menyelesaikan masalah kompleks berkenaan pendatang asing tanpa izin dan tanpa kewarganegaraan di negeri ini.

Beliau turut mempersoalkan IMM13 iaitu

dokumen untuk mendaftarkan pelarian dari Selatan Filipina hampir 40 tahun lalu yang masih dikeluarkan pada hari ini kepada pendatang asing.

“Pertama, adakah Putrajaya menggalakkan lebih ramai pendatang asing tanpa izin datang ke Sabah dan tinggal di sini melalui pengeluaran IMM13 ini?

“Kedua, apa garis panduan kita berkenaan siapa antara pendatang tanpa izin yang berhak mendaftar?

“Ketiga, adakah anak dan cucu pemegang IMM13 juga berhak menjadi pemegang IMM13, adakah pemegang IMM13 ini dibenarkan bekerja di Sabah seperti pemegang pas pemastautin yang sah atau adakah mereka dianggap sebagai buruh asing yang juga perlu membayar pungutan levi pekerja asing?” katanya.

Shir Yee berkata, ia antara sebahagian isu kritikal yang perlu dijawab menteri sebelum dengan mudah membuat pengumuman berkenaan isu pendatang asing di negeri ini.