Hamzah Dirawat Di PPUM, Tahap Kesihatan Stabil

PUTRAJAYA: Tahap kesihatan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin yang sedang menjalani rawatan serta kuarantin di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) setelah positif COVID-19 adalah stabil, demikian menurut kenyataan Pejabat Menteri Dalam Negeri hari ini.

Pejabat Menteri Dalam Negeri itu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menzahirkan keprihatinan terhadap tahap kesihatan Hamzah, susulan tular gambar yang mendakwa Hamzah telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi susulan tahap kesihatan yang merosot.

“Tahap kesihatan beliau (Hamzah) berada dalam keadaan yang stabil,” menurut Pejabat Menteri Dalam Negeri itu yang turut memohon agar semua pihak terus mendoakan kesembuhannya.

Hamzah disahkan positif COVID-19 selepas menjalani ujian saringan COVID-19 pada 11 Jan lepas.

Pejabat Menteri Dalam Negeri memaklumkan sebarang perkembangan berkaitan tahap kesihatan Hamzah yang sahih dan rasmi hanya akan dikeluarkan oleh pejabat menteri itu.