Hampir RM3 Juta Cukai Tunggakan Berjaya Dikutip MPS

Jaujan (tengah) menyempurnakan gimik perasmian majlis berkenaan sambil disaksikan para tetamu kehormat.

SANDAKAN: Hampir RM3 juta cukai tertunggak berjaya dikutip oleh Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) menerusi program Pengampunan MPS bersama Pembayar Cukai, di sini pada Ahad.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, ia merupakan pencapaian baik untuk MPS yang berjaya mengutip cukai tunggakan tersebut.

“Sepanjang program ini diadakan para pembayar cukai turut diberikan diskaun untuk membayar cukai masing-masing menerusi kemudahan seperti perbankan yang disediakan.

“Orang ramai perlu ingat, duit yang diperolehi ini akan dipulangkan semula kepada masyarakat dalam bentuk perkhidmatan, ianya tidak disimpan di MPS atau bank,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan program tersebut.

Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan menjelaskan duit yang dikutip itu akan digunakan untuk membaiki jalan raya, lampu jalan, membersihkan parit, pasar awam dan sebagainya.

Beliau juga mengingatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu memberikan perkhidmatan yang seimbang dengan hasil kutipan yang diperolehi itu.

“Dalam usaha mengingatkan masyarakat bagi melaksanakan tanggungjawab ini, iklan atau papan tanda berkaitan cukai perkadaran perlu diletakkan disetiap kawasan awam tidak mudah lupa.

“Bukan orang kita tidak mahu bayar tetapi mereka lupa akibat kesibukan dengan kerja harian,” katanya.

Menurutnya, iklan atau papan tanda ini adalah sebagai satu peringatan kepada mereka agar melaksanakan tanggungjawab terhadap PBT atau majlis daerah.

Turut hadir ialah Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan George Hiew, Presiden MPS Wong Foo Tin bersama tetamu kehormat lain.