Hampir Merempat Di Tanah Sendiri, Pengalaman Penduduk Kg Mau, Telupid

Oleh SURAIDAH ROSLAN
BELURAN: Tanah hampir dirampas dan keluarganya hampir dihalau dari tanah sendiri.

Itu antara peristiwa yang dialami oleh Lius Martinus, 33, dari Kampung Mau, Telupid dalam mempertahankan tanah milik nenek moyang mereka.

LIUS MARTINUS

Katanya, Orang Asal hampir merempat di tanah sendiri hanya kerana campur tangan syarikat yang mengusahakan ladang kepala sawit berhampiran tanah milik orang kampung.

“Ini tanah waris bagi generasi ketiga, nenek moyang saya sudah usahakan tanah ini sejak berpuluh tahun. Sejak 70an dan sudah 40-50 tahun kami memohon.

“Baru hari ini, kami mendapat (geran), nenek moyang saya ada yang sudah meninggal dan kami sebagai generasi ketiga baru mendapat geran tersebut,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Penyerahan Geran Tanah daerah Beluran, di sini hari ini.

Graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) ini berharap,  semua penerima geran ini akan mengusahakan tanah masing-masing demi menikmati hasil daripada tanah tersebut.

Lius berkata, perniagaan adalah satu perniagaan yang perlu dimanfaatkan oleh semua penerima geran ini.

TURUS SALADOU

Dengan bantuan dan bimbingan Jabatan Pertanian dalam mengusahakan tanah, penduduk kampung akan dapat menjana pendapatan daripada hasil tanah sendiri.

Sementara, Turus Saladou, 70, dari Kampung Ulu Muanad Baru, Beluran berkata, setelah menunggu dari 1976 akhirnya penduduk kampung mereka berjaya memperoleh geran tanah.

“Biarlah geran itu menjadi milik anak cucu kami selama-lamanya dan kami tidak boleh mensia-siakan geran itu.

“Kami akan pegang geran itu dengan sebaik-baiknya kerana itu adalah azimat buat kami.

“Saya ucapkan terima kasih kerana usaha dan kepimpinan Ketua Menteri yang komited membantu rakyat Sabah,” katanya.

RAMLEE KALABI

Bantuan Jabatan Pertanian akan menggalakkan lagi penduduk kampung mengusahakan tanah dengan sebaiknya.

Turut gembira dengan pemberian geran tanah itu adalah Ketua Kampung, Kg Keliaga Sugut, Ramlee Kalabi.

Katanya, selepas bertahun-tahun menanti, akhirnya penduduk Kg Keliaga akhirnya memiliki geran tanah.

Tambahnya, geran ini akan diusahakan dengan sepenuhnya oleh semua penerima.