Hampir 12,000 Pengundi Sri Tanjong Keluar Mengundi

Calon Warisan Plus Justin Wong.

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Sehingga jam 2 petang tadi, seramai hampir 12,000 pengundi menunai tanggungjawab membuang undi di N.69 Sri Tanjong, di sini, hari ini.

Menurut sumber, ia meliputi 44.94 peratus daripada keseluruhan pengundi berdaftar di situ, yang berjumlah 26,493 orang.

N.69 Sri Tanjong menyaksikan persaingan lapan penjuru, merekodkan jumlah calon bertanding paling ramai di Parlimen Tawau dan Kalabakan.

Sementara itu, Calon Warisan Plus Justin Wong kelihatan hadir di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Hing Hwa, bagi sekitar jam 9.30 pagi tadi.

Seorang lagi calon Warisan N.70 Kukusan Rina Jainal turut membuang undi Sekolah Kebangsaan Tanjung Batu pada jam 1.20 petang tadi.

“Selain saya, jentera parti Warisan juga turut turun mengundi mengikut masa yang disaran SPR bagi mengelak kesesakan di pusat mengundi.

“Selepas saya akan melawat semua Pusat Daerah Mengundi Kukusan bagi memastikan semua urusan berkaitan pengundi berjalan lancar,” katanya.

Untuk rekod, N.70 Kukusan adalah satu daripada 13 Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum pembubaran DUN pada akhir Julai lalu.

Ia menyaksikan saingan tujuh penjuru iaitu Usno, PCS, Warisan, BN, Harapan Rakyat, Gagasan dan PPRS.