Hala Tuju Ditetapkan, Lebih Banyak Pelaburan Dibawa Ke Sabah

1552

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memberi jaminan akan menetapkan hala tuju yang lebih jelas dalam bidang perniagaan bagi memastikan ekonomi Sabah terus membangun pada tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, kerajaan akan memberi fokus untuk membawa masuk lebih banyak pelaburan ke Sabah pada tahun ini supaya ekonomi negeri terus berkembang.

“Pada 2019 ini, akan ada perubahan. Tahun ini kita akan memastikan pelaburan dan perniagaan dibawa masuk ke Sabah.

“Akan ada hala tuju yang jelas dalam bidang perniagaan. Tapi yang penting, kita mahu melahirkan generasi komuniti peniaga baharu yang lebih dinamik.

“Jika dilihat anak-anak muda masyarakat Tiong Hua yang ada di sini melihat saya dengan mata yang penuh tanda tanya. Adakah mereka boleh meletakkan kepercayaan kepada saya selaku Ketua Menteri. Adakah mereka boleh meletakkan harapan masa depan mereka kepada pemimpin ini atau tidak.

“Saya yakin perubahan akan berlaku dan kita akan lakukan perubahan itu dengan sebaik mungkin,” katanya ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Pesta Tarian Singa dan Unicorn, di sini pada Sabtu.

Pesta yang menjadi acara tahunan itu dianjurkan oleh Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS).

“Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir. Bila saya mencadangkan nama VK Liew, Mohamaddin Ketapi dan Darell Leiking kepada Tun, beliau menerimanya tanpa mempersoalkannya. Mereka diumumkan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, serta Menteri Perdagangan Antarabangsa,” ujarnya.

Menurutnya, beliau juga merancang membangunkan pelbagai industri di Sabah pada tahun ini. Melalui pelaburan RM1bilion yang akan dibawa masuk ke Sabah, ia dijangka akan membangunkan beberapa sektor termasuk sektor hartanah di negeri ini.

“Saya juga akan ke China untuk membawa pelabur China datang ke Sabah. Saya berharap Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu akan bekerjasama dengan kerajaan dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi di negeri ini,” ujarnya.

Mohd Shafie berkata, masyarakat Tiong Hua di negeri ini juga banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi di Sabah. Maka, beliau berharap mereka akan terus menyokong dan bekerjasama dengan kerajaan untuk terus membangunkan ekonomi di negeri ini.

Beliau memberi jaminan bahawa perubahan akan dapat dilihat kerana itu yang rakyat inginkan ketika mengundi untuk perubahan.

“Bila ada sedikit keraguan dalam sistem kehakiman yang ada maka, pembaharuan perlu dilakukan.

Beliau juga mahu masyarakat Cina terus memelihara budaya tarian singa ini agar generasi akan datang akan dapat merasai dan mengenali budaya mereka.

“Jika keadaan kewangan kerajaan bertambah baik pada masa akan datang, saya akan memberikan lebih banyak sumbangan kepada FCAS bagi menyokong sambutan perayaan sebegini,” katanya.

Beliau berkata, sambutan yang signifikan kepada masyarakat Tiong Hua ini turut dihadiri daripada masyarakat pelbagai kaum. Ia merupakan cerminan kepada semangat perpaduan dan kekitaan masyarakat berbilang kaum di Sabah.

“Perpaduan yang kukuh akan memastikan negeri ini terus maju ke hadapan. Kita tidak boleh merealisasikan pembangunan dan kemakmuran Sabah tanpa sokongan semua kaum.

“Bukan hanya satu komuniti yang menyumbang kepada pembangunan di Sabah. Jadi, penting untuk kita terus memelihara kesatuan rakyat ini demi pembangunan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan juga negeri ini,” jelasnya.

Dalam majlis itu, Kerajaan Negeri turut menyampaikan sumbangan dana RM150, 000 kepada FCAS yang diwakili Naib Presidennya Datuk Susan Wong. Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu turut menyumbangkan kira-kira RM 30,000 (RMB 50,000).s