Hak PR Kepada Penjawat Awam Dari Semenanjung Dipertimbang – KM

181

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan memberi hak penduduk tetap (PR) kepada penjawat awam berasal dari Semenanjung Malaysia yang memenuhi syarat ditetapkan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, terdapat syarat-syarat tertentu dalam kewarganegaraan yang perlu dipenuhi bagi melayakkan mereka mendapat hak penduduk tetap.

“Kalau dia memenuhi syarat kewarganegaraan tiada masalah. Tapi dia kena berada di Sabah berpuluh tahun.

“Tidak boleh dia baru dipindahkan, kita terus berikan hak penduduk tetap,” katanya ketika ditanya mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P.Waytha Moorthy yang berharap penjawat awam berasal dari Semenanjung Malaysia diberi status penduduk tetap (PR) di Sabah.

Mohd Shafie berkata, tidak menjadi masalah kepada kerajaan untuk memberikan hak penduduk tetap terhadap mana-mana pihak yang memenuhi syarat seperti sudah lama berkhidmat di Sabah dan berkahwin dengan orang tempatan serta anaknya dilahirkan di Sabah.

“Namun dia kena memenuhi syarat. Tidak boleh berikan hak itu semalaman, hari ini dipindahkan dari Kuala Lumpur dan kita berikan hak penduduk tetap. Itu bukan caranya, ada syarat yang perlu dipatuhi,” ujarnya.

Pada Jumaat lalu, P.Waytha yang bertanggungjawab dalam perpaduan nasional dan kesejahteraan sosial meminta Kerajaan Sabah mempertimbangkan agar memberi hak PR kepada penjawat awam berasal dari Semenanjung Malaysia yang mahu terus menetap di Sabah walaupun sudah pencen.

Menurutnya, perkara itu sudah dibincangkan dengan Ketua Menteri Sabah dan ia akan diberi perhatian sewajarnya.