Hajiji Yakin BERSATU Akan Masuk Sabah Tidak Lama Lagi

834
Hajiji Mohd Noor – Gambar Ehsan, Astro Awani

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Disebalik bantahan kemasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ke Sabah, bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Hajiji Mohd Noor yakin parti itu akan melebarkan sayap ke Sabah tidak lama lagi.

”Saya mahu maklumkan bahawa BERSATU akan datang ke Sabah. Saya memberi jaminan parti itu akan masuk (Sabah) tidak lama lagi,” katanya.

Hajiji berkata, beliau sedang berhubung dengan ketua-ketua BERSATU mengenai rancangan kemasukan ke Sabah itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parti Bersatu Sabah (PBS), di sini pada Rabu.

Menurutnya, beliau bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang keluar dari Umno pada 12 Disember lalu, masih lagi menjadi Adun Bebas.

Namun, mereka akan meneruskan kerjasama dengan Gabungan Bersatu Sabah (GBS).

Ditanya tentang rancangan menyertai mana-mana parti, Hajiji berkata, beliau belum membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu.

”Saya belum buat keputusan. Saya mahu mimpi-mimpi dulu dalam satu hingga dua bulan ini,” ujarnya.

Beliau berkata, beliau sedang mempertimbangkan sama ada mahu menyertai parti tempatan mahupun parti nasional.

Hajiji turut menyangkal dakwaan bahawa bekas-bekas pemimpin Umno akan kembali semula kepada parti itu.

”Saya tidak rasa begitu…semua pemimpin yang keluar akan mencari platform baru.

”Kita tidak akan balik semula kepada Umno.

”Apa yang boleh saya katakan sekarang, kami bekerjasama dengan Adun dari PBS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang berada dalam GBS.

”Kami tidak akan menyertai Warisan. Jadi kita tunggulah perlahan-lahan,” jelasnya.

Pada Januari, Ketua Strategi BERSATU Datuk Rais Hussin berkata, parti itu sedang berbincang dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) tentang kemasukan mereka ke Sabah. Namun, belum ada sebarang keputusan dibuat mengenai perbincangan itu.

Rais berkata, parti itu akan menghormati persetujuan yang dicapai dan penubuhan BERSATU di Sabah hanya akan dilakukan dengan persetujuan rakan sekutunya di Sabah.