Hajiji Umum Pertukaran Portfolio Antara Bung Moktar Dan Masidi

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor mengumumkan pertukaran portfolio antara Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Datuk Masidi Manjun.

Bung Moktar dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah I merangkap Menteri Kerja Raya manakala Masidi sebagai Menteri Kewangan ll merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

Hajiji berkata beliau memerlukan Masidi yang berpengalaman khususnya dalam membantu beliau untuk  memulihkan ekonomi Sabah dan menghadapi pandemik COVID-19.

“Masidi berpengalaman dalam bidang kewangan dan ekonomi, saya memerlukan beliau dan (pelantikannya) dipersetujui semua,” katanya, pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dan taklimat daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong  di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini hari ini.

Terdahulu, Masidi dilantik sebagai Menteri Kerja Raya manakala Bung Moktar sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah pada majlis angkat sumpah Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah ke-16 di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, di sini, pagi tadi.

Tiga menteri lain yang mengangkat sumpah ialah Datuk Dr Jeffrey Kitingan sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah.

Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Dr Joachim Gunsalam mengangkat sumpah sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah, dan Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah.

Setiausaha Agung PBS Datuk Jahid Jahim sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah.

Hajiji berkata lima lagi menteri dan pembantu-pembantu-pembantu menteri akan mengangkat sumpah dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, mengulas mengenai spekulasi UMNO tidak berpuas dengan pembahagian jawatan dalam kabinet Sabah, Hajiji berkata tidak timbul isu berkenaan.

“Itu tidak betul, UMNO ada di sini, Bung Moktar ada. Jadi tidak timbul itulah (tidak puas hati),” katanya.