Hajiji Mahu SOGIP Dijadikan Hab Hiliran Petroleum, Gas Petrokimia Asia Tenggara

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor mahu Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) dibangunkan sehingga mencapai potensi penuhnya sebagai hab aktiviti hiliran petroleum dan gas petrokimia utama di Asia Tenggara.

Beliau bagaimanapun mengakui infrastruktur dan ketersediaan tanah merupakan antara isu penting yang perlu ditangani oleh Sabah Oil & Gas Development Corporation (SOGDC), sebagai pengalak SOGIP, untuk menarik pelabur.

Beliau juga menjelaskan kerajaan negeri akan memainkan sebahagian peranan untuk menyediakan dana di bawah Hala Tuju Sabah Maju selain menerusi peruntukan Persekutuan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 untuk menambah baik infrastruktur di SOGIP.

“SOGDC perlu berusaha lebih giat untuk memastikan pertumbuhan positif industri minyak dan gas Sabah serta khususnya meningkatkan kedudukan SOGIP dalam kluster petrokimia di rantau ini dari segi mencipta pekerjaan berkualiti tinggi untuk rakyat,” katanya semasa mempengerusikan mesyuarat lembaga pengarah SOGDC di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini, pada Isnin.

Terdahulu beliau menyampaikan surat pelantikan kepada barisan ahli lembaga pengarah baharu.

Lembaga pengarah baharu SOGDC dianggotai oleh Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Dr Joachim Gunsalam; Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif SOGDC, Abdul Kadir Damsal; tiga Setiausaha Tetap — Rusdin Riman (kewangan), Jasmin Julpin (kerja) dan Thomas Logijin (pembangunan perindustrian).

Ahli lain ialah bekas Direktorat Projek bagi Pengurusan Projek dan Projek Sabah, Petronas Chemicals Group, Datuk Mohd Shariff Ibrahim; Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Dr Roland Chia dan bekas calon Ahli Dewan Undangan Negeri, Ronnie Loh Ee Eng.

Hajiji berkata beliau yakin pasukan baharu itu akan lebih ke hadapan, cekap dan proaktif dalam menguruskan SOGIP.

Beliau berkata pembangunan industri minyak dan gas Sabah secara amnya merekodkan pertumbuhan pesat susulan penemuan medan minyak di perairan laut dalam pada beberapa tahun lepas.

“Terma-terma yang ditambah baik dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) oleh Petronas telah membolehkan pengurusan sektor huluan dilaksanakan secara lebih baik selain negara dan Sabah khususnya mencapai kemajuan dari segi sumber hidrokarbon,” katanya.

Beliau berkata aspirasi kerajaan negeri bukan hanya untuk melonjakkan hasil daripada minyak dan gas menerusi pencukaian malah keterangkuman dengan semua pihak akan mempunyai peluang luas dan manfaat secara ekonomi secara langsung atau tidak langsung daripada sektor tersebut.