Hajiji Disahkan Positif Covid-19

Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan Covid-19 kali kedua.

Setiausaha Perhubungan Awam kepada Ketua Menteri Effendi Mohamed Sunoh mengesahkan perkara ini menerusi satu kenyataan pada 11 malam tadi.

Beliau berkata, selepas beberapa hari menjalani kuarantin kendiri, Haiji menjalani ujian Covid-19 sekali lagi dan keputusan terbaru mengesahkan beliau positif Covid-19.

Hajiji menjalani kuarantin kendiri secara sukarela beberapa hari yang lalu setelah salah seorang daripada kakitangannya didapati positif Covid-19.

Katanya, Ketua Menteri Sabah itu berada dalam keadaan baik dan stabil. Kini, beliau sedang menjalani rawatan di Hospital Queen Elizabeth (QEH) bagi rawatan seterusnya.

Tambahnya, Hajiji masih menjalankan tugas dan tanggungjawabnya di tempat rawatan, menerusi panggilan telefon dan persidangan video.

Oleh itu, kerajaan negeri berfungsi seperti biasa.

Hajiji turut mengajak seluruh rakyat Sabah agar bertenang dan bersama-sama berdoa agar Allah SWT sembuhkan dan selamatkan Sabah dan Malaysia daripada Covid-19.