Had Umur Belia Sabah Kekal 15 Hingga 35 Tahun – Phoong

121
Phoong berkongsi pendapat bersama Syed Saddiq.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KUALA LUMPUR: Sabah mengekalkan takrifan had umur belia antara 15 hingga 35 tahun sehingga penilaian menyeluruh dibuat bagi menurunkan had umur itu kepada 30 tahun

Itu antara perkara dibincangkan Menteri Belia dan Sukan Sabah Phoong Jin Zhe dalam Sesi Libat Urus Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia yang diadakan pada Khamis.

Beliau berkata, takrifan had umur belia Sabah adalah 15-35 tahun dan had umur pemegang jawatan pertubuhan belia adalah 18-35 tahun.

Ia kekal sebegitu sehingga kajian dan penilaian menyeluruh dibuat untuk memastikan belia Sabah benar-benar bersedia untuk diturunkan kepada 30 tahun mengikut pindaan akta belia.

Dalam pada itu, Phoong melihat penglibatan input dari Sabah dalam taklimat dan perbincangan melalui Sesi Libat Urus Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia itu akan membantu melancarkan pindaan akta berkenaan.

Beliau berkata, pindaan akta itu akan membantu memperkasakan kepimpinan pertubuhan belia di peringkat kebangsaan dan negeri.

Sesi Libat Urus yang berlangsung pada Khamis itu dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan Malaysia Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Phoong berkata, antara subjek pembentangan dan perbincangan adalah seperti pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia, tadbir urus Pertubuhan Belia Pasca Pindaan Akta 668, garis panduan pemberian bantuan kepada pertubuhan belia oleh Jabatan Belia dan Sukan Negara.

Selain itu, dalam pertemuan itu, Phoong juga membangkitkan tiga projek yang tergendala sekian lama di Sabah iaitu Kompleks Sukan Tenom, pembinaan kolam renang Tawau dan pembinaan Stadium Ragbi Sabah.

Beliau juga berkongsi dengan Syed Saddiq tentang perkembangan program belia dan sukan yang bakal diadakan di Sabah, seperti Hari Belia Sabah, Sukan Sabah dan lain-lain.

Katanya, beliau berharap kerjasama yang erat terus dikekalkan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi melancarkan pelaksanaan dasar kerajaan, dan membangunkan sukan dan belia bersama-sama.