Guru Tempatan; Sabah Hanya Perlu Tujuh Peratus Untuk Capai Dasar 90:10

skul-kids

KOTA KINABALU – Sekolah rendah di Sabah hanya perlu tujuh peratus guru tempatan untuk mencapai dasar 90 peratus pendidik tempatan dan 10 peratus guru luar (Dasar 90:10) menjelang 2018.

Pengarah Pendidikan negeri Datuk Maimunah Suhaibul berkata setakat ini Sabah merekodkan 25,957 guru sekolah rendah dan 82.4 peratus atau 21,406 orang adalah anak tempatan.

“Ini bermakna dalam tujuh peratus lagi (untuk kita capai) Dasar 90:10 (bagi sekolah rendah,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan hari pertama sesi persekolahan 2017 di Sekolah Menengah All Saints, di sini hari Selasa.

Dasar 90:10 diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memastikan 90 peratus guru sekolah di Sabah dan Sarawak diisi oleh anak tempatan menjelang 2018.

Bagi sekolah menengah pula, Maimunah berkata guru kelahiran Sabah merangkumi 75.9 peratus daripada 14,776 orang.

Beliau juga berkata walaupun pihaknya tidak mengalami masalah kekurangan guru sekolah rendah, Sabah memerlukan guru sekolah menengah terutama bagi subjek Pendidikan Islam dan Bahasa Inggeris.

Dalam perkembangan lain, Maimunah berkata jabatan itu mengagihkan jaket keselamatan kepada 1,876 guru di lapan daerah iaitu Kota Kinabalu, Kota Belud, Kudat, Beluran, Sandakan, Lahad Datu, Semporna dan Tawau.

Jaket keselamatan itu disediakan bagi kegunaan guru-guru yang mengajar di kawasan pulau selain memastikan insiden dua guru lemas dalam kejadian bot karam di Pulau Mantanani tahun lepas tidak berulang, katanya.

Dalam kejadian 3.35 petang pada Ogos lepas, dua guru mati lemas selepas bot yang dinaiki bersama lapan lagi karam semasa dalam perjalanan dari Kampung Rampayan Laut ke Pulau Mantanani, Kota Belud.

“Kementerian Pendidikan memperuntukkan lebih RM200,000 untuk membeli jaket keselamatan bagi kegunaan guru yang mengajar di pulau atau kawasan berisiko bot karam,” katanya menambah jaket terbabit diagihkan tahun lepas.