Guru, Petani Mengaku Tidak Bersalah Atas Tuduhan Menipu Di Labuan

1385

LABUAN: Seorang guru sekolah menengah berumur 42 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan menipu seorang wanita membabitkan wang berjumlah RM77,500 dalam transaksi tanah palsu.

Fauziah Halim membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Leona Dominic Mojiliu yang kemudian menetapkan perbicaraan pada 22 April.

Dia didakwa menipu wanita itu supaya membayar RM5,000 (bayaran awal) pada 11 April 2016 ke dalam akaun milik Fast Home Land, yang pengarahnya adalah tertuduh sendiri, bagi pembelian sebidang tanah pribumi  seluas 5886.88 kaki persegi di Lot A-A Kg Bukit Kuda Labuan dengan harga keseluruhan RM150,000.

Bagaimanapun, wanita itu terkejut apabila mendapati tiada rekod permohonan untuk penjualan  tanah itu apabila dia membuat semakan dengan Pejabat Tanah dan Galian Labuan pada 27 Mei 2016 dan segera berjumpa tertuduh untuk mendapatkan penjelasan.

Dia kemudian diminta oleh tertuduh untuk melunaskan sejumlah wang lagi bertujuan mempercepatkan transaksi tanah itu, yang mana dia menyerahkan kepada tertuduh cek bernilai RM72,500 pada hari sama.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Labuan ASP Haslina Hassan berkata tertuduh ditahan pada 1 April di sekolahnya di Putatan, Penampang.

Majistret Leona membebaskan tertuduh dengan jaminan RM6,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin warga tempatan.

Di mahkamah sama, beliau menetapkan 22 April untuk perbicaraan seorang petani berumur  43 tahun yang didakwa menipu seorang lelaki untuk membayar RM21,000 bagi tansaksi burung walet yang tidak wujud.

Wong Yee Ann mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu dan dibebaskan dengan jaminan RM4,000 dan dua penjamin warga tempatan.