Guru Pesara Lemas Terperangkap Dalam Kenderaan Di Kg Lingkungan

Ahli Bomba sedang mengusahakan keluarkan mangsa dari kenderaan beliau. – Gambar ihsan BOMBA Beaufort

Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY
BEAUFORT: Seorang lelaki warga emas maut selepas dipercayai terperangkap di dalam kenderaan dihanyutkan arus banjir di kawasan Jalan Sipitang-Beaufort berhampiran Kampung Lingkungan di sini, Selasa malam.

Naidi @ Adzrose Gamanie, 63, dipercayai terperangkap di dalam kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu.

Difahamkan, kenderaan pacuan empat roda berkenaan dihanyutkan banjir sebelum memasuki parit di tepi jalan sedalam lebih 1.5 meter. Mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Lingkungan apabila kejadian itu berlaku.

Kampung itu dan beberapa kampong lain di Besufort dan Sipitang dinaiki air selepas hujan Selasa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang Rastam Keladi berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 11.30 malam dan tiba di lokasi kira-kira 15 minit kemudian.

“Anggota Bomba yang bertugas mengambil masa lebih kurang setengah jam untuk mengeluarkan mangsa dari kenderaan itu dan mangsa didapati telah meninggal dunia.

“Kita mengalami sedikit kesukaran untuk mengeluarkan mangsa susulan arus masih deras ketika itu.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis Beaufort untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan Rabu.

Seramai 12 anggota bomba dan dua jentera dari Sipitang dan Beaufort terbabit dalam operasi yang tamat pada jam 1 pagi itu.