Guru Maut Kemalangan Dalam Perjalanan Dari Beluran Ke Telupid

Keadaan kenderaan yang terbabit kemalangan di km17 Telupid-Kinabatangan. – Hazsyah Abdul Rahman /bharian.com.my

BELURAN: Seorang guru wanita di Semporna meninggal dunia, manakala dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 17, Jalan Telupid ke Beluran.

Dalam kejadian pada jam 7.17 malam tadi itu, mangsa yang meninggal dunia ialah penumpang kereta, Avloure Andrew Alex, 29, yang berasal dari Kampung Mangakaladoi, di Tamparuli, Tuaran.

Difahamkan, wanita itu mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bum-Bum, Semporna.

Mangsa yang parah ialah seorang lelaki yang juga pemandu kereta yang berusia 30 tahun, dan penumpang MPV, iaitu wanita yang berumur 42 tahun.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan V Shivananthan, berkata ketika kejadian, guru yang menaiki kereta itu dalam perjalanan dari Beluran menghala ke Telupid.

Katanya, MPV pula dinaiki tiga individu dan mereka dalam perjalanan dari arah Telupid menghala ke Beluran.

“Sebaik saja tiba selekoh dan berbukit, pemandu kereta itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan, sekali gus menyebabkan kereta itu merempuh MPV.

“Akibat kejadian itu, guru wanita terbabit meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, mayat guru wanita itu dihantar ke Hospital Beluran untuk bedah siasat, manakala mangsa yang parah dihantar ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan untuk rawatan lanjut. – Hazsyah Abdul Rahman/bharian.com.my

BACA LAGI DISINI: –

https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/01/381292/guru-maut-kemalangan

(Visited 1 times, 1 visits today)