Guru Jalan Kaki 8 KM Hantar Modul PdPR Ke Rumah Pelajar

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KUDAT: Berjalan kaki sejauh 8km selama hampir sejam dan menaiki bot untuk sampai ke rumah pelajar bagi menghantar modul pembelajaran antara pengorbanan yang dilakukan oleh guru yang berada jauh di kepulauan.

Inisiatif sebegitu perlu diambil oleh guru-guru Sekolah Kebangsaan (SK) Balambangan, Banggi bagi memastikan tiada pelajar yang tercicir dari mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

SALMAT ABI

Guru Besar SK Balambangan, Salmat Abi berkata, itu situasi yang dihadapi oleh guru-guru di sekolah berkenaan semasa pelaksanaan PdPR pada tahun lalu.

Sekolah Kurang Murid (SKM) ini mempunyai lebih 70 orang pelajar.

Untuk sesi PdPR tahun ini, guru-guru masih mengadakan PdPR secara online dan menyediakan modul pembelajaran secara manual untuk ibu bapa datang mengambilnya di pondok pengawal di sekolah.

Sekiranya ada keperluan, barulah guru-guru akan mengambil pendekatan sama untuk menghantar modul pembelajaran ke rumah pelajar yang berada di Kampung (Kg) Batu Sirih dan Kg Kok Simpul.

Kedua-dua kampung ini berada jauh dari sekolah dimana Kg Batu Sirih hanya boleh diakses menggunakan bot dan Kg Kok Simpul terletak 8km dari sekolah.

Salmat berkata, sesi PdPR secara online sukar untuk dilakukan kerana kebanyakan pelajar tinggal di kawasan yang langsung tiada liputan internet. Malah, ada antara ibu bapa pelajar tidak mempunyai telefon pintar mahupun tablet.

Ini adalah kekangan utama bagi guru yang mengajar di Pulau Balambangan, Banggi yang terletak hampir sejam perjalanan menaiki bot dari Pekan Kudat.

“Malah, di SK Balambangan, guru-guru mengambil inisiatif membeli booster menggunakan kewangan sendiri bagi mendapatkan liputan internet untuk sesi PdPR secara online. Itupun kadang-kadang signal tidak cukup kuat.

“Jika langsung tiada booster, sesi pengajaran secara online sukar untuk dilakukan kerana capaian internet sangat lemah.

“Ada kalanya arahan dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) pun lewat diterima iaitu selepas dua atau tiga hari berikutan masalah capaian internet,” katanya ketia dihubungi Borneo Today, hari ini.

Katanya, boleh dikatakan hanya 30 peratus sahaja pelajar yang akan mengikuti PdPR secara online. Selebihnya memilih untuk mengambil modul pengajaran yang disediakan secara manual di sekolah.

Salmat berkata, disebabkan kebanyakan ibu bapa pelajar di sekolah itu adalah nelayan, ada antara mereka tidak mempunyai telefon pintar apatah lagi tablet untuk anak mereka mengikuti PdPR secara online.

Bagaimapaun, beliau merasa bangga kerana ibu bapa memberi kerjasama yang sangat baik untuk mengambil modul pembelajaran yang disediakan di sekolah setiap minggu.

Katanya, seminggu sekali ibu-bapa akan datang mengambil dan kemudan menghantar modul pembelajaran secara manual yang disediakan.

“Adalah menjadi harapan kami yang mengajar di sekolah ini agar menara telekomunikasi dapat dibina di pulau ini.

“Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, kami ada menghantar surat memohon dengan syarikat telekomunikasi swasta untuk pembinaan menara di Pulau Balambangan namun, sehingga kini tiada respon. Kita akur dengan kekangan yang dihadapi syarikat swasta,” jelasnya.

Salmat berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) juga ada memungut data dan menjalankan soal selidik mengenai capaian internet di SK Balambangan pada tahun lepas.

Katanya, diharap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atau JPNS dapat mengambil tindakan segera agar akses internet di sekolah ini dapat dipertingkatkan.

“Kami juga telah dijanjikan bahawa sekolah-sekolah di pulau yang tidak mempunyai capaian internet akan diberi keutamaan bagi peningkatan akses internet dengan kadar segera. Jadi kami hanya menunggu tindakan seterusnya daripada KPM dan JPNS,” ujarnya.