Guru Ditahan Kerana Pukul Polis Cuba Tangkap Anak Saudaranya

Anak saudara guru sekolah rendah yang ditahan keraan menghalang tugas dan menyerang polis.

Oleh ARDYHANSAH AMAT
LAHAD DATU: Seorang guru sekolah rendah ditahan selepas didakwa menyerang seorang pegawai polis dengan memukulnya di bahagian perut, di Padang Bandaran, di sini petang semalam.

Dalam kejadian pukul 5 petang semalam, suspek lelaki berumur 54 tahun itu bertindak demikian selepas pegawai polis berpangkat Inspektor itu cuba menahan anak saudaranya iaitu lelaki yang menjadi buruan polis sejak bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, terdahulu, pegawai polis berkenaan cuba menahan seorang lelaki buruan berumur 23 tahun yang dipercayai suspek utama beberapa kes jenayah.

“Bagaimanapun, suspek iaitu bapa saudara kepada orang buruan itu, bertindak menghalang dan menolak pegawai berkenaan selain turut menampar sebanyak dua kali di bahagian perut mangsa tanpa sebab munasabah.

Seorang lagi suspek yang diburu polis sejak bulan lalu.

“Sehubungan itu, polis terpaksa menahan guru berkenaan selepas didapati menghalang tugas seorang penjawat awam untuk menahan penjenayah yang juga merupakan anak saudaranya,” katanya kepada media hari ini.

Nasri berkata, guru sekolah rendah itu kini ditahan mengikut Sekysen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam.

“Sebelum ini, polis melancarkan gerakan memburu dua lelaki termasuk anak saudara guru tersebut, atas beberapa kesalahan jenayah sejak bulan lalu.

“Berdasarkan aduan polis yang diterima, kedua-dua suspek berumur 22 dan 23 tahun itu, didakwa bertindak menyerang seorang lelaki lain selain merosakkan kenderaannya di hadapan Restoran Bakso Legend Bandar Sri Perdana, 18 Januari lalu,” katanya.

Kenderaan mangsa yang dirosakkan dua suspek pada Januari lalu.

Difahamkan, mangsa turut cedera di muka akibat dipukul selain kenderaan Perodua Myvi milik rakannya turut dilarikan suspek.

Nasri berkata, suspek pertama berjaya ditahan di hadapan rumah pekerja Ladang Felcra Danum pada jam 9.50 malam, 22 Januari lalu.

“Suspek kedua pula ditangkap di Padang Bandaran Lahad Datu, semalam, namun cuba dihalang oleh bapa saudaranya.

Sehubungan itu, kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 323, Seksyen 379 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.