Guru Besar Didakwa Beri Kontrak Pada Adik Ipar

323

Oleh TERTIA JACOB
SANDAKAN: Seorang guru besar dihadapkan ke Mahkamah Khas, di sini atas tiga pertuduhan  melantik syarikat dimiliki adik iparnya untuk membekal peralatan sekolah bernilai RM16,378.

Tertuduh, Abd Rasid Mohamad, 50, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan hakim, Abu Bakar Manat.

Mengikut kertas pertuduhan, guru terbabit,

dituduh melakukan kesalahan itu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tetabuan, Beluran antara Januari hingga Jun 2015.

Dia didakwa menggunakan jawatan untuk mendapatkan suapan dengan melantik Aslan Enterprise yang dimiliki adik iparnya sebagai syarikat pembekal barangan sekolah.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama yang memperuntukkan penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Faliq Basiruddin, manakala tertuduh diwakili peguam, Marzuki Spawi.

Hakim membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM10,000 dan deposit RM8,000 oleh dua penjamin tempatan.

Tertuduh turut diarahkan menyerahkan pasport dan melapor diri di SPRM Sandakan sekali dalam setiap tiga bulan.

Abu Bakar menetapkan 19 Mac depan sebagai tarikh pengurusan kes.