Guru Besar Alami Serangan Jantung Sebelum Dijatuhkan Hukuman Akibat Rasuah

Oleh TERTIA JACOB
SANDAKAN: Mahkamah Khas Rasuah di sini terpaksa menangguhkan keputusan hukuman terhadap seorang guru besar atas pertuduhan rasuah selepas tertuduh mengalami serangan jantung.

Dalam prosiding hari ini, Brahim Zakaria, 55, yang mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan alternatif menyalahgunakan kuasa menggunakan wang Kumpulan Wang SUWA (Sumbangan Wang Awam) mengalami serangan jantung ketika menunggu hukuman dijatuhkan oleh Hakim, Abu Bakar Manat.

Tertuduh kemudian dihantar ke Hospital Duchess of Kent dan susulan itu, mahkamah menetapkan 2 April depan untuk tarikh menjatuhkan hukuman.

Brahim turut dibenarkan diikat jamin dengan RM10,000 dan seorang penjamin tempatan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Raya SPRM, Michael Joimin.

Berdasarkan fakta kes, Brahim dituduh melakukan kesalahan itu antara 2016 dan 2017 dengan masing-masing berjumlah RM6,000, RM5,000 dan RM3,300.

Brahim didakwa mengikut Seksyen 403 dan Seksyen 409 Kanun Keseksaan.