Guru Agama Cabul Dua Kanak-Kanak Lelaki Dipenjara 20 tahun

TAWAU: Seorang guru agama dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan lapan sebatan di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas kesalahan mencabul dua kanak-kanak yang merupakan pelajarnya.

Hakim, Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Ikram Yusuf, 25, yang didapati bersalah atas kesalahan mencabul dua kanak-kanak lelaki berkenaan.

Dalam pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menghisap kemaluan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun di bahagian dapur sekolah berkenaan dekat sini, pada 4.30 petang, 13 September 2019.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa menyentuh kemaluan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun di sekolah yang sama pada 4.30 petang sekitar bulan April 2019.

Namun, atas pertuduhan ketiga, tertuduh didapati tidak bersalah atas pertuduhan mencabul seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun antara April hingga September 2019, berikutan testimoni pendakwaan tidak kuat.

Bagi kesemua pertuduhan itu, Muhamad Ikram didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan bagi setiap pertuduhan.

Hakim kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara selama sepuluh tahun dan empat sebatan bagi setiap pertuduhan dan hukuman dijalankan secara berasingan.

Awang Kerisnada dalam penghakimannya memberitahu mahkamah bahawa walaupun tertuduh orang asing baginya, tetapi pekerjaan sebagai seorang guru bukan sesuatu yang asing.

Tertuduh berselindung disebalik pakaian orang alim namun, dia adalah predator seksual.

Menurut hakim, kebanyakan kanak-kanak berjumpa dengan guru pada usia muda, tetapi malang bagi mangsa kerana berjumpa dan belajar dengan seorang guru yang merupakan predator seksual.

Perbicaraan kes ini bermula pada 4 Oktober 2019 dan sepanjang perbicaraan seramai 19 saksi pendakwaan dipanggil, manakala pihak pembelaan mengemukakan seorang saksi iaitu tertuduh sendiri.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya P.Kershanathan dan tertuduh diwakili peguam Dayang Aidaku Amira Aminuddin.