Gunung Berapi Lumpur Meletus Di Tabin, Lahad Datu

KOTA KINABALU: Kejadian Gunung Berapi berlumpur yang berlaku di Taman Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu disifatkan sebagai satu fenomena biasa.

Pakar Geologi Sabah, Prof Dr. Felix Tongkul berkata, fenomena itu berlaku apabila tekanan lumpur dalam bumi meningkat dan perlu dilepaskan.

“Keadaan ini berulang apabila tekanan terkumpul pada sesuatu masa tertentu.

“Namun, pada kebiasaannya, volkano lumpur seperti ini akan menjadi lebih aktif semasa kejadian gempa bumi,” katanya ketika dihubungi.

Walau bagaimanapun, pada masa ini tiada kejadian gempa bumi yang berlaku di kawasan sekitar Lahad Datu. Biasanya gegaran gempa bumi dari kawasan berdekatan yang cenderung mencetuskan fenomena volkano lumpur ini.

Kejadian gempa bumi hanya dilaporkan di Taiwan dan jaraknya agak jauh dengan Sabah.

Sejak kelmarin, tular sebuah rakaman video berdurasi 10 saat dalam laman media sosial menunjukkan volkano lumpur meletus di Taman Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu.

Kali terakhir kejadian volkano lumpur di taman itu meletus adalah pada 2019.