Gunakan teknologi satelit selesai masalah capaian internet di Sabah – UPKO

KUALA LUMPUR: Kerajaan diseru menggunakan teknologi satelit untuk menyelesaikan isu ketiadaan liputan internet dan capaian yang lemah di beberapa kawasan di Sabah.

Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran) berkata, hanya teknologi tersebut yang boleh mengatasi masalah berkenaan terutama di kawasan yang bergaung dan terpencil.

“Hanya dengan penggunaan teknologi satelit kita akan dapat memberikan liputan di semua kawasan tanpa mengira bentuk muka bumi.

“Pandemik Covid-19 telah menyebabkan sesi Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan menyebabkan kerperluan liputan internet ini sangat mendesak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perbahasan Titah DiRaja dalam Persidangan Dewan Rakyat pada Selasa.

Menurut Madius, ramai pelajar di Sabah tidak dapat mengikuti sesi PdPR dalam talian kerana menghadapi masalah liputan internet terutamanya mereka yang tinggal di luar bandar.

“Maka Tuaran meminta kerajaan supaya memberi keutamaan kepada pelaksanaan dasar serta memberi peruntukan penggunaan teknologi satelit dilaksanakan di setiap pelusuk negara bermula di Sabah.

“Ia juga seiring dengan hasrat Tuanku dalam Titah Ucapan DiRaja yang mahu mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja-pekerja asing melalui penggunaan sistem teknologi automasi dalam bidang pertanian.

“Apabila tiada liputan internet, hasrat ini sukar dicapai,” ujar Madius.

Walau bagaimanapun beliau memaklumkan bahawa, keupayaan itu hanya boleh dilakukan dengan kerjasama pihak swasta seperti Measat memandangkan kerajaan masih belum dilengkapi teknologi satelit.

“Dan bila mana melibatkan swasta, harga bagi pembelian data dan sebagainya agak mahal, maka mereka di luar bandar tidak mampu.

“Dalam hal ini, barangkali dasar subsidi juga harus dilaksanakan untuk rakyat di luar bandar,” katanya.