Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, ada kalanya beliau bimbang bila masih ada pihak menggunakan tangki biru sebagai modal meraih undi.
Beliau berkata, rakyat di negeri ini sering dipijak oleh mereka yang berkuasa sedangkan setiap kali pilihan raya, kuasa itu berada di tangan rakyat. Maka, gunakan kuasa rakyat itu untuk mengubah keadaan dengan memilih kerajaan yang lebih baik.
“Ke mana umat di negara ini mahu dibawa, masih lagi pakai tangki biru (raih undi). Jadi, saya minta pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), pastikan kita ubah (pemimpin) di Kota Marudu. Saya yakin, kita boleh ubah keadaan itu, ia akan dapat jadi kenyataan.
“Jika Pairin Kitingan boleh tumbang di Keningau, Bernard Dompok boleh tumbang di Penampang, takkan Maximus tidak boleh kalah di Kota Marudu. Jadi, pastikan pilihan raya kali ini, calon Warisan menang di Kota Marudu,” katanya semasa Program Jelajah Presiden Warisan di Parlimen Kota Marudu hari ini.
Menurutnya, beliau agak sedih apabila rakyat di negeri ini masih tidak sedar, apabila diberikan RM150 terus sokong parti pemerintah, diberikan RM150 terus naik bendera tapi, kampung sendiri masih tiada air.
Mohd Shafie berkata, sekiranya Warisan mengambil alih tampuk pemerintahan, beliau akan mengubah corak pentadbiran negeri ini ke arah yang lebih baik.