Guna Pengangkutan Awam Sah – Pengerusi LPKP Raime Unggi

Raime Unggi
Raime Unggi

TENOM – Penumpang termasuk pelancong asing di negeri ini digesa agar menggunakan pengangkutan awam yang memiliki permit sah demi kebaikan pengguna sendiri jika berlaku sebarang perkara tidak diingini dalam perjalanan mereka.

Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah Datuk Raime Unggi berkata pengguna perlu bijak dalam memilih pengangkutan awam yang diperlukan dan wajar mengelak daripada menggunakan perkhidmatan kereta sapu.

“Pilihlah pengangkutan awam memiliki permit sah yang dikeluarkan kerajaan seperti teksi, bas awam, kereta sewa dan lain-lain,” katanya dalam kenyataan di sini Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Membara Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Tenom Bersama Rakyat Di Hati Ku, di Kampung Talibatang Lama, Kemabong.

Beliau mengulas mengenai rungutan pengusaha teksi di Sabah mengenai perkhidmatan Uber (kereta sewa) yang menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pemandu teksi.

Persatuan Pengusaha Teksi Kota Kinabalu juga telah mengadakan pertemuan dengan Raime bagi menyuarakan bantahan terhadap Uber dan meminta pihak berkuasa menghalang perkhidmatan itu dengan segera.

Raime yang juga Anggota Parlimen Tenom, berkata walaupun pengguna mempunyai hak untuk memilih rangkaian perkhidmatan pengangkutan awam yang diperlukan, adalah wajar mereka memilih yang mempunyai permit sah.

Dalam pada itu, Raime mengingatkan pengusaha pengangkutan awam di negeri ini agar terus meningkatkan mutu perkhidmatan supaya pengguna berasa yakin, selesa dan berbaloi menggunakan perkhidmatan mereka.