Gudang Perabot Musnah Dalam Kebakaran Di Jalan Lintas

KOTA KINABALU: Gudang perabot Chan Furniture di Jalan Lintas Kepayan musnah 100 peratus dalam kebakaran yang berlaku awal pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada 6.33 pagi dan mengerakkan dua jentera FRT, satu lori tangki dan satu utiliti Vido bersama 20 pegawai dan anggota.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah gudang perabot telah terbakar sepenuhnya. Kebakaran ini turut melibatkan satu blok bangunan yang mempunyai lima lot kedai dua tingkat terbakar 70 peratus.

Operasi pemadaman dilakukan dengan menggunakan sumber air tertutup dan operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada 10.26 pagi.

Kebakaran ini tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa dan punca kebakaran serta kerugian masih dalam siasatan.