GST Di Sabah, Sarawak Haram – Pelanggaran No 4 Perjanjian M’sia 63

Oleh ZAINNAL AJMAIN
KOMEN: Apa pemimpin Sabah buat untuk mempertahankan Hak Sabah daripada Malaya.

Jadual 10 Bahagian V Sumber Tambahan Hasil yang diserahkan kepada Negeri Sabah dan Sarawak – item 7 Cukai cukai Jualan Negeri Pelanggaran No. 4 Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah berasaskan bahawa Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau GST yang dikenakan kepada Sabah dan Sarawak adalah tidak sah dan melanggar perlembagaan oleh kerana ia melanggar peruntukan Jadual 10 Bahagian V Tambahan Hasil yang diserahkan kepada Negeri Sabah dan Sarawak – item 7 Cukai cukai Jualan Negeri.

Pelanggaran seperti ini adalah sama dengan melanggar peruntukan Annex A – Jadual Lima Bahagian V item 7 Cukai cukai Jualan Negeri dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Tambahan pula Kerajaan Sabah telah pun meluluskan Enekmen Cukai Jualan 1998 pada 29 Disember 1998 yang berbunyi:

“Sale” include barter; and also include the disposal of goods with a right of purchase or on terms providing that the seller retains an interest in the goods, the internal transfer of goods within the same entity for purpose of processing the goods into another form of product and delivery of goods under any condition as to future payment, whether or not the transaction take place within or outside the state: and “to sell” has a corresponding meaning;

Tidak dinafikan bahawa item Cukai Jualan terdapat didalam Jadual 9 senarai Persekutuan perlembagaan, namun, kuasa ini adalah khusus untuk 11 negeri-negeri Tanah Melayu. Ini perlu dibezakan kerana Sabah dan Sarawak mempunyai kuasa Cukai Jualannya sendiri seperti yang diperuntukan didalam Jadual 10 Bahagian V item 7 Cukai cukai Jualan Negeri.

Ini juga perlu supaya Cukai Jualan Persekutuan dan Cukai Jualan Negeri tidak bertindih maka tidaklah wujud keadaan cukai berganda atau ‘double taxation’.

Enakmen Cukai Jualan Sabah 1998 telah diluluskan dan mendapat persetujuan Tuan yang Terutama Sabah pada 29 Disember 1998. Ini bermakna Sabah juga boleh mengenakan Cukai Jualan seperti GST, namun, Sabah berkuasa membuat kutipan dibuat Sabah dan hasilnya adalah hasil Sabah bukan Persekutuan.

Sudah dua kali Kerajaan Persekutuan telah menggunakan Akta Cukai Jualan 1972 untuk mengambil hasil khusus untuk Sabah.

Pertama, untuk memenuhi keperluan Asean Free Trade Area (AFTA) dimana penggunaan kaedah Duti Import dan Duti Eksais perlu mansuhkan. Kerajaan Persekutuan memansuhkan semua Duti Import dan Duti Eksais dengan Cukai Spesifik atau Cukai Khusus supaya pendapatan Negara tidak terjejas.

Kuasa untuk mengenalkan Cukai Spesifik ini pula hanya berdasarkan kepada Akta Cukai Jualan 1972. Namun tiada pertimbangan yang sama diberikan kepada pendapatan Sabah dan Sarawak. Walaupun Enakmen Cukai Jualan telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri masing masing, Enakmen ini tidak digunakan.

Disebaliknya Kerajaan Persekutuan mengutip semua hasil daripada Cukai Spesifik dan hanya memberikan kepada Sabah dan Sarawak peruntukan tetap (fixed grant) berjumlah RM120 juta setahun. Jumlah ini tidak berbaloi jika dibandingkan kepada anggaran kutipan hasil Cukai Spesifik daripada Sabah yang menjangkau RM5.8 billion.

Kedua, perlaksanaan Cukai GST ke Sabah adalah tidak sah dan tidak berpelembagaan. Ini disebabkan Cukai GST adalah berasaskan kepada Akta Cukai Jualan 1972 juga. Ini pula melanggar kuasa yang diberikan oleh Enakmen Cukai Jualan 1998 dan peruntukan Jadual 10 Bahagian V item 7 perlembagaan Malaysia.

Enakmen Cukai Jualan 1998 mampu mengurus dan mentadbir perlaksanaan cukai seperti GST. Perlaksanaan GST melalui Enakmen Cukai Jualan 1998 bererti hasil yang dikutip digunakan untuk maksud pengurusan Sabah, tidak di angkut ke Putrajaya.

Keadaan ini mempersoalkan kejujuran dan keikhlasan Putrajaya apabila memasukkan Annex A – Malaysia Bill kedalam perlembagaan Malaysia.

Laporan IGC, Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Malaysia memperuntukan cukai Jualan Negeri sebagai hasil tambahan untuk Sabah dan Sarawak. Ini bermaksud Malaysia sengaja mempunyai dua jenis cukai jualan. Sebagai pengamal undang undang Kerajaan Persekutuan dan Sabah tidak akan melaksanaan cukai bertindih.

Ini juga bererti Kerajaan Persekutuan dan Sabah mempunyai pilihan untuk menggunakan perlaksanaan GST di Sabah berdasarkan Akta Cukai Jualan 1972 atau menggunakan perlaksanaan GST di Sabah berdasarkan Enakmen Cukai Jualan 1998.

Tiada pilihan untuk perlaksanaan GST berdasarkan kepada Akta Cukai Jualan 1972 dan Enakmen Cukai Jualan 1998 serentak ini akan mewujudkan keadaan cukai bertindih atau ‘double taxation’.

Tiada pula peruntukan untuk memilih barangan yang dikenakan cukai melalui Akta Cukai Jualan 1972 atau Enakmen Cukai Jualan Sabah 1998 keadaan ini secara otomatik mengenakan cukai bertindih.

Hanya satu cara cukai GST boleh dilaksanakan di Sabah, Kerajaan Sabah sendiri membenarkan Akta Cukai Jualan 1972 dikuatkuasa ke Sabah. Namun, Enakmen Cukai Jualan Sabah 1998 tidak pernah dibatalkan, ini menunjukkan cobaan Kerajaan Sabah bersubahat dengan Kerajaan Persekutuan mengaburi mata rakyat Sabah.

Ini membayangkan bahawa pemimpin Sabah tidak berminat untuk melindungi dan mempertahankan hak-hak Sabah, mereka hanya mencari penyelesaian politik untuk kepentingan diri sendiri.

• Zainnal Ajamain adalah seorang aktivis yang memperjuangkan hak-hak Sabah dan juga penulis buku ‘The Queen’s Obligation’