GRS Tandatangan MoU Perkukuh Kerjasama Politik

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dianggotai sembilan parti politik menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuhkan kerjasama politik di negeri ini.

Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, MoU yang ditandatangani antara gabungan parti-parti politik dalam GRS itu dilihat akan memperkuatkan lagi kerjasama yang sedia ada.

Beliau, yang juga Ketua Menteri Sabah ini berkata, MoU secara bertulis yang ditandatangani itu amat perlu bagi mengukuhkan lagi kerjasama yang ada dalam politik dan juga dalam mentadbir kerajaan negeri.

“Kita berbincang sebagai satu keluarga yang besar kerana kita sebagai parti yang telah diberi peluang oleh rakyat untuk mentadbir dan memerintah Sabah. Jadi, usaha untuk menguatkan kerjasama ini amat perlu.

“Namun, ia bukan bermakna kita tidak bekerjasama sebelum ini. Kita memang bekerjasama kuat selama ini hingga kita dapat menyelesaikan pelbagai masalah dalam usaha membawa pentadbiran yang lebih baik kepada rakyat,” katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat GRS dan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama politik GRS, di sini, hari ini.

Ditanya kenapa hanya MoU dan bukan perjanjian, Hajiji berkata, tiada keperluan untuk mengikat semua gabungan parti dengan perjanjian seperti perjanjian kerjasama dalam perniagaan.

“Saya ingat tidak perlu perjanjian kerana ini hanya kerjasama politik. Saya ingat ketua parti komponen adalah pemimpin yang bertanggungjawab, kita tidak perlulah ikat macam kita join venture buat projek.

“Ini persefahaman politik, saya ingat semua mempunyai tanggungjawab yang besar, bijaksana dan yang penting adalah kepentingan rakyat dan kerajaan,” jelasnya.

Mengulas mengenai tindakan jika melanggar MoU itu, Hajiji berkata, tidak timbul soal pelanggaran kerana kerjasama politik itu sudah ditandatangani dan mereka akan berpegang kepada persefahaman dan kerajsama yang telah terjalin sejak sebelum pilihan raya sehingga pembentukan kerajaan GRS.

Dalam memorandum tersebut, semua parti gabungan setuju memperkukuh ikatan politik melalui amalan perundingan berasaskan persefahaman.

Gabungan parti-parti ini juga bersetuju untuk memastikan mandat rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 dihormati dan perlu diteruskan bagi menjamin kestabilan dan kesejahteraan rakyat.

Selain itu, semua parti dalam GRS juga setuju memastikan kerjasama ini diperkukuhkan serta menolak campur tangan luar yang cuba menggugat gabungan tersebut.

Gabungan parti dalam GRS terdiri daripada Parti Pribumui Bersatu Malaysia (BERSATU), UMNO, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), MCA, MIC, Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan PAS.

Dalam mesyuarat itu, GRS turut mengumumkan barisan jawatankuasa GRS yang diketuai oleh Hajiji sebagai Pengerusi, Timbalan-timbalan Pengerusi terdiri daripada Bung, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Datuk Seri Jeffrey Kitingan. Setiausaha adalah Mohd Razali Razi, Penolong Setiausaha Ardino Diris, Bendahari Datuk Seri Salleh Tun Said dan Ketua Penerangan Datuk Joniston Bangkuai.

Manakala, dua orang wakil dari setiap parti turut dilantik menganggotai jawatankuasa tersebut. Mereka termasuk dari BERSATU (Datuk Seri Masidi Manjun, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif), UMNO (Datuk Yakub Khan, Datuk Jafry Ariffin), PBS (Datuk Seri Radin Malleh, Datuk Jahid Jahim), STAR (Datuk Ellron Angin, Guan Dee Koh Hoi), PBRS (Arthur Joseph Kurup, Vincent Lee), SAPP (Datuk Seri Yong Teck Lee, Edward Dagul), MIC (Lee Wan Tung @ Lu Yen Tung, Dr Pamela Yong), MCA (Peer Mohammad Kadir, Chandra) dan PAS (Mohd Aminudin Aling, Abdul Hashim Osman).