GRS Perlu Semak Kelemahan Urus Pandemik – Darell

PENAMPANG : Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking menggesa kerajaaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menyemak semula kelemahan dalam menguruskan pandemik Covid-19 di negeri ini.

Beliau sekali lagi meminta kerajaan untuk mempercepatkan proses vaksinasi di daerah ini yang dilihat masih lagi agak ketinggalan.

Katanya, mereka sudah mengemukakan cadangan sebelum ini agar kerajaan GRS menggerakkan pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi seperti Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan ketua kampung (KK) bagi mengenal pasti nama penduduk yang belum menerima vaksin biarpun sudah mendaftar MySejahtera sejak beberapa bulan lalu.

Senarai nama itu perlu diserahkan kepada pegawai bertugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Langkah ini lebih berkesan dan PPV boleh meminta pasukan bergerak masuk ke kampung-kampung untuk memberikan vaksin.

Malah, cadangan meminta pemimpin masyarakat memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di peringkat kampung juga sudah dikemukakan.

Namun, cadangan-cadangan yang dikemukakan itu tidak diambil serius oleh pemimpin GRS. Sebaliknya, kerajaan memutuskan mengenakan larangan kepada individu yang belum menerima vaksin.

Ketetapan untuk individu sudah lengkap dua dos vaksin sahaja dibenarkan masuk ke pasar raya, pusat membeli belah dan restoran tidak relevan kerana pelaksanaan proses vaksinasi itu sendiri agak lambat.

“Jika proses vaksinasi perlahan dan sekatan sebegini dilaksanakan situasi ini mendatangkan kesukaran kepada rakyat kerana ketika ini terlalu banyak kluster baharu yang dikesan. Langkah ini tidak adil kepada ratusan ribu rakyat Sabah yang tidak dibenarkan masuk pasar raya hanya kerana belum lengkap divaksin.

“Sekatan pergerakan yang masih dikuatkuasakan juga menyebabkan industri pelancongan terus mengalami kerugian. Jika imuniti berkelompok tidak dapat dicapai dengan segera, penggiat industri akan terus berada dalam kegelapan kerana operasi mereka akan terus ditutup.

“Sudah sampai masanya untuk kerajaan GRS menyatakan pendirian yang tegas kepada kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan sebanyak mungkin vaksin bagi rakyat di negeri ini.

“GRS harus menggesa kerajaan Persekutuan agar penghantaran bekalan vaksin ke Sabah tidak terlewat walau sehari pun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Batholomew Jingulam

Sementara itu Pengerusi Penampang Act of Kindness Association (PAKA), Batholomew Jingulam berkata, kerajaan negeri perlu memperluaskan proses vaksinasi dengan menambah bekalan vaksin di daerah ini.

“Pada masa ini, kita sudah hidup dikelilingi virus dan ia memerlukan setiap daripada kita terus mematuhi SOP ditetapkan. Ketika ini, proses vaksinasi secara walk-in jelas menunjukkan rakyat mula leka mematuhi amalan penjarakan fizikal.

“Situasi ini berlaku kerana PPV sendiri tidak punya persediaan untuk menerima kehadiran penerima vaksin yang terlalu ramai melalui walk-in. Sepatutnya setiap PPV sudah menetapkan SOP yang lebih ketat sebelum pelaksanaan vaksinasi secara walk-in,” katanya.

Pada masa ini, kerajaan negeri harus melihat vaksinasi ini sebagai tanda amaran kerana jangkitan di Sabah semakin meningkat.

Katanya, rakyat Sabah perlu menggesa kerajaan untuk segera bertindak tanpa sebarang alasan agar usaha mencapai imuniti berkelompok itu mampu dilakukan.

Sekarang ini rakyat cukup terdesak untuk menyelamatkan komuniti masing-masing daripada dijangkiti kerana semakin ramai individu sudah berdaftar.

Tambahnya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pula dilihat cukup memberi kesan kepada kehidupan rakyat yang tidak dijangkiti dan begitu patuh kepada SOP.

Jika dilihat bantuan bakul makanan yang bernilai RM100 itu hanya cukup untuk seminggu sahaja bagi keluarga yang besar. Ini akan menyebabkan ramai yang menderita kerana tiada sumber makanan mahupun pendapatan kerana sekatan yang dikenakan di bawah PKPD.

Atas sebab itu, PAKA bekerjasama dengan Pejabat Parlimen Penampang bagi mengumpulkan sumbangan barang keperluan seperti susu bayi, pelitup muka, pensanitasi tangan mahupun barangan dapur.

-TAMAT-