GRS Digesa Fikir Semula Keputusan Walk-in Beramai-ramai ke PPV

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah digesa memikir semula keputusan membenar ‘walk-in’ secara beramai-ramai ke PPV di seluruh Sabah.

Ini susulan pengumuman Datuk Masidi Manjun pada hari Rabu yang mengatakan bahawa warganegara Malaysia dan warganegara asing dibenar ‘walk-in’ beramai-ramai ke mana-mana PPV untuk menerima suntikan vaksin.

Melalui sebuah kenyataan media yang dikeluarkan pada hari Khamis, Datuk Junz Wong yang merupakan  Naib Presiden Warisan telah memberi amaran tentang malapetaka yang mungkin berlaku.

“Adakah GRS bertanya nasihat doktor dan petugas barisan hadapan sebelum membuat keputusan sedemikian?”

“Apakah pendirian Pengarah Kesihatan Sabah yang baharu, Dr. Rose Nani Mudin?”

“Polisi setengah masak sebegini bukan saja tidak bertanggungjawab, malah menghancurkan!”

“Pernahkah GRS terfikir tentang apa yang akan berlaku, sekiranya dalam beribu-ribu yang ‘walk-in’, salah seorang merupakan positif Covid-19?”

“Adakah kita mahu lihat Sabah mencetus sebuah kluster yang melibatkan ribuan orang?”

Junz juga berasa kesal, kerana GRS merisikokan nyawa orang ramai dan nyawa para petugas barisan hadapan.

“Sekarang ada sudah SOP untuk mengelak perkara-perkara yang tidak diingini.”

“MySejahtera mengesan kontak rapat dan sejarah perjalanan para pengguna.”

“Mereka yang pernah berada di zon merah atau menjadi kontak rapat akan dihalang berada di PPV buat sementara masa.”

“Jadi, kalau sekarang semua pihak dibenar ‘walk-in’ sahaja, tidakkah nyawa dan keselamatan para petugas barisan hadapan menjadi terancam?”

“Saya sangat bimbang. Doktor-doktor dan para petugas barisan hadapan kita sudah banyak berkorban.”

“Jadi GRS perlu mengambil kira perkara ini sebelum membuat keputusan secara tergesa-gesa.”

ADUN Tanjung Aru itu juga menyoal kewajaran PTI diberi layanan seperti Sabahans.

“Wajarkah PTI menerima layanan yang sama seperti Sabahans, sedangkan Sabahans sendiri pun ramai yang masih belum divaksinasi?”

“Seeloknya kita fokus pada Sabahans terlebih dahulu, kemudian barulah kita menyediakan pelan pelaksanaan yang berbeza untuk PTI.”

Di penghujung, Junz berkata bahawa SOP dan pelan yang berbeza diperlukan untuk pemvaksinan secara ‘walk-in’.

“Nasihat saya adalah untuk mengasingkan PPV yang boleh ‘walk-in’ dengan PPV yang tidak boleh ‘walk-in’.”

“Ada yang sudah daftar MySejahtera dan mahu ‘walk-in’. Golongan ini memerlukan satu set SOP.”

“Ada yang tidak daftar MySejahtera dan mahu ‘walk-in’. Golongan ini memerlukan satu set SOP yang berbeza.”

“Saya rasa idea ‘walk-in’ adalah baik, tapi ia perlu teratur dan dilaksanakan dengan SOP yang ketat, kerana kita mahu elak malapetaka berlaku di mana ribuan orang bersesak-sesak di suatu tempat.”

“Kita mahu elak tercetusnya gelombang baharu.”

“Janganlah sampai terlalu lambat. Sekarang masanya fikir betul-betul, adakah polisi yang dibuat ini membaiki atau mengeruhkan lagi keadaan Covid-19 di Sabah.”