GRS-BN Selesaikan Segera Masalah Pendatang Asing Tanpa Izin Di Sabah – Azhar

KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah dan Barisan Nasional (GRS-BN) perlu membuktikan kesungguhan ‘bersuara lantang’ serta sanggup berhadapan Putrajaya untuk menyelesaikan masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini.

Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Warisan, Azhar Matussin, berkata tindakan itu harus diterjemahkan dalam tempoh terdekat dan tidak hanya bangga bersuara ‘lantang’ di dada akhbar.

Katanya, kerajaan sekarang perlu memastikan Putrajaya mempunyai kemahuan politik untuk mengatasi masalah PATI yang berlarutan sejak sekian lama, sekaligus meyakinkan rakyat.

“Mereka perlu segera buktikan kepada rakyat Sabah. Jangan hanya sekadar berharap…..Kita mahu agar tindakan ini bukan sekadar omong kosong yang sengaja dijaja menjelang Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) yang semakin hampir.

“Janji kosong yang sama pernah dilaungkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020, kononnya semua PATI akan di hantar balik sebaik sahaja membentuk kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Darau, mengulas kenyataan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkaitan penyelesaian masalah pendatang asing di Sabah hari ini.

Azhar berkata malangnya sehingga kini apa yang berlaku, ‘Janji PRN’ itu hanyalah sekadar cakap-cakap kosong umpama menanam tebu di tepi bibir.

“Janji tidak dilaksana….pelbagai alasan digunakan untuk memutar belit janji PRN Sabah ke 16 lalu. Setelah hampir dua tahun berlalu, rakyat sehingga kini masih menunggu apa tindakan GRS-BN,” katanya.

Azhar turut mempersoalkan mengapa pengeluaran Kad Pengenalan Sabah (IC Sabah) tidak disokong semasa disuarakan bekas Ketua Menteri dan ADUN Dilantik Datuk Yong Teck Lee pada sidang Dewan Undangan Negeri Sabah, Disember lalu.
sekiranya betul ia antara penyelesaian masalah ini.