GRS BN PN Jangan Berbohong Kepada Rakyat Sabah – Pemuda UPKO

KOTA KINABALU: Cadangan kerajaan untuk memberikan kad warga asing di Sabah amat bertentangan dengan janji semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 yang lalu.

Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Felix Joseph Saang berkata, kerajaan sepatutnya tampil dengan jalan penyelesaian masalah kebanjiran pendatang asing di Sabah seiring dengan janji yang ditabur.

“Adakah GRS, BN dan PN mahu berbohong kepada rakyat Sabah? Kita masih ingat, Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Hamzah Zainudin berucap dalam kempen bagi calon Parti Bersatu Sabah di Kiulu dengan janji dan jaminan bahawa kumpit-kumpit (pendatang asing) akan dihantar balik sekiranya menang dalam pilihan raya.

“Namun selepas menang dan setelah lebih 16 bulan berlalu, masih belum ada satu pun usaha menunaikan janji tersebut. Malah rakyat Sabah pula secara mengejut ‘dihadiahkan’ dengan cadangan pemberian dokumen kepada warga asing seolah-olah mengiktiraf kehadiran mereka di sini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Felix mengulas laporan akhbar semalam berhubung kenyataan Hamzah bertajuk “Kerajaan pertimbang beri kad warga asing di Sabah.”

Ujar Felix, rakyat Sabah kini menuntut janji Hamzah dan mahukan pendatang asing dihantar balik, bukannya memberi pengiktirafan sehingga mereka mempunyai kesaksamaan dengan warga tempatan.

“Sekiranya pemberian kad itu dilaksanakan, kerajaan bukan sahaja gagal mengotakan janji, malah secara automatik ia merupakan satu penipuan dan pembohongan besar kepada rakyat di negeri ini.

“Kita ingin bertanya, mengapa kerajaan tidak mahu melaksanakan cadangan penyelesaian Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sabah. Dalam RCI ini cukup dengan pelbagai penemuan dan bukti selain telah menelan kos operasi yang tinggi?”

Ujarnya, lebih menghairankan kenapa pemberian Kad Warga Asing ini mahu dilaksanakan secara tiba-tiba dimana ramai yang menyatakan Malaysia kini berada di ambang PRU 15. Perkara ini amat meragukan rakyat Sabah.

“Dan kita juga ingin tahu secara terperinci, apakah kaedah-kaedah, terma-terma yang diguna pakai dan siapa-siapakah yang terlibat?”

“Kenapa keputusan dibuat tanpa penglibatan rakyat, pihak pembangkang atau pihak-pihak atau badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) yang berkaitan?

“Apa jaminan program ini telus, terbuka, tepat, dan dilaksanakan tanpa berlakunya penyelewengan. Pemberian kad warga asing ini tidak boleh dibuat dengan sewenang-wenangnya.”

Beliau secara sinis turut bertanya apakah pemberian kad itu sama seperti Pas Residen Sementara atau Pas Sementara Sabah yang ditentang habis-habisan oleh seluruh parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebelum ini.

“Adakah ini melibatkan kesemua warga asing termasuk pemegang IMM13, Kad Burung-burung, dan Kad Banci?

“Ternyata rakyat yang telah memilih GRS pada PRN ke-16 mula sedar bahawa para pemimpin GRS yang melabel diri mereka kononnya sebagai ‘pejuang anti-pendatang asing’ telah menipu rakyat ‘bulat-bulat’. Mereka sebenarnya telah memperdaya dan memperalatkan rakyat Sabah,” kata Felix yang juga Ketua UPKO Bahagian Beluran.

Untuk rekod, Hamzah dalam laporan akhbar semalam turut memaklumkan bahawa pemberian kad kepada warga asing itu membolehkan mereka bekerja secara sah di Malaysia selain anak mereka mempunyai akses perkhidmatan sosial seperti Pendidikan.