GRS Akan Bawa Ketidakstabilan Di Sabah

Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY

KOTA KINABALU : Seorang pemimpin Parti Warisan Sabah mengatakan bahawa isu ketidak-sepakatan yang wujud diantara komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan menyebabkan ketidak-stabilan politik di negeri ini berterusan.

Menurut Bendahari Agung Warisan, Terrence Siambun, perbalahan diantara Umno dan Bersatu yang bermula dengan pengagihan kerusi dan berterusan dengan isu calon Ketua Menteri jelas menunjukkan bahawa gabungan tersebut tidak akan kekal lama.

TERRENCE SIAMBUN

“PBS sudah menunjukkan bahawa parti itu tidak berminat untuk kekal lama dalam GRS apabila parti tersebut mengambil keputusan bertanding di 17 DUN berbanding 11 yang telah diperuntukkan.

Umno pula sudah mendominasi pengagihan kerusi maka saya pasti STAR akan memberikan sokongan kepada Umno dalam isu calon Ketua Menteri kerana Jeffrey Kitingan tidak mempunyai sebarang pilihan – PN telahpun mengecewakannya dalam isu pembahagian kerusi terlebih dahulu.

Ketidak-stabilan politik di negeri ini yang dimulakan oleh PPBM diperingkat Persekutuan pada Februari yang lalu dan disambung pula di Sabah melalui cubaan merampas kuasa oleh Musa Aman mesti dihalang oleh rakyat Sabah dengan mengundi WarisanPlus pada 26 September ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Siambun juga berkata bahawa dalam jangkamasa 26 bulan, WarisanPlus telahpun membuktikan bahawa pakatan tersebut komited dalam mempertahankan hak-hak dan keistimewaan negeri ini walaupun pelbagai cabaran dihadapi.

“GRS bukanlah satu gabungan yang mahu memperjuangkan maruah dan martabat negeri Sabah sebagai rakan kongsi yang membentuk Persekutuan Malaysia tetapi sekadar untuk memastikan negeri ini terus menjadi fixed deposit kepada Umno.

Ini jelas melalui kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin PPBM seperti Hajiji Mohd Noor, Masidi Manjun dan Azizah Mohd Dun yang menganggap bahawa rakyat Sabah semuanya masih lemah dan tidak bermaruah apabila mereka berulang kali mengatakan bahawa pembangunan negeri ini cuma boleh dilaksanakan sekiranya PN mentadbir Sabah.

Isu-isu seperti PTI, royalti minyak, Borneonisasi dan MA63 bukanlah agenda utama PPBM dan PN kerana selama 7 bulan Muhyiddin Yasin menjadi Perdana Menteri, tidak ada sebarang penyelesaian konkrit yang dibuat oleh Putrajaya yang dipimpin oleh PN mengenai perkara-perkara ini.

PPBM juga tidak ada bezanya dari Umno yang mencanangkan isu pembangunan sebagai topik utama dalam kempen mereka seolah-olah Sabah tidak layak menerima peruntukkan pembangunan yang adil – mereka masih tidak sedar yang rakyat Sabah mahu dihormati sebagai rakan setaraf dalam Persekutuan ini,” katanya lagi.

Siambun juga berharap agar rakyat Sabah sedar bahawa tohmahan dan fitnah yang dibuat terhadap Datuk Seri Shafie Apdal dan Parti Warisan Sabah semuanya adalah tidak berasas dan merupakan politik terdesak.

“Mereka hina Datuk Seri Shafie dan katakan bahawa dia berasal dari Tawi-tawi dan pro PTI – saya amat hairan mengapa ramai rakyat Sabah begitu mudah untuk menerima fitnah sedemikian.

Sekiranya Datuk Seri Shafie dan Warisan pro PTI dan mahu menjaga kebajikan mereka, mengapa pula mereka yang tahu mengenai sistem pentadbiran dan perundangan seperti Tan Sri Simon Sipaun, Tan Sri Richard Malanjum, Dr Chong Eng Leong dan Zainnal Ajamain menyokong Datuk Seri Shafie?

Mereka ini semuanya berpendidikan tinggi dan pernah menjawat jawatan-jawatan tertinggi Kerajaan Negeri dan Persekutuan maka rakyat Sabah harus sedar dan menolak pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong PN yang benar-benar terdesak sehingga membuat dan menyebarkan fitnah dan tohmahan yang sememangnya akan dibalas oleh hukum karma nanti,” tegasnya.