Gred Pegawai Sabah Kini Setanding Persekutuan Berbanding Zaman BN

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KUDAT: Gred penjawat awam Sabah adalah lebih rendah berbanding pegawai Kerajaan Persekutuan semasa zaman Barisan Nasional (BN) walaupun jawatan yang dipikul sama.

Sebagai contoh, ketika seorang pegawai daerah di Semenanjung menikmati gred gaji sehingga Jusa C, namun di Sabah, gred tertinggi pegawai daerah semasa pemerintahan  Tan Sri Musa Aman cuma N48.

Perkara tersebut berlaku disebabkan sikap Musa sendiri yang gemar menyambung kontrak pegawai tertentu berulang-kali menyebabkan ada pegawai bawahan gagal menikmati kenaikan pangkat atau gred selama 20 tahun.

Bagaimanapun, selepas Parti Warisan Sabah (Warisan) memerintah, dasar menyambung kontrak pegawai atasan dimansuhkan, malah reformasi pentadbiran diamalkan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menyebabkan lebih 500 kakitangan mendapat kenaikan pangkat.

“Kita lonjakkan semua, berapa pegawai-pegawai daerah naik Jusa C Setiausaha Tetap yang ada semua sudah Jusa C.

“Tidak pernah berlaku dan dalam jangka masa pendek itu kita lonjakkan hampir 500 pegawai-pegawai kerajaan naik pangkat, dulu semua jem pasal di atas itu jem, sambung, sambung, sambung, jadi kita punya dasar kita tidak sambung kecuali ada perkara-perkara tertentu dan semuanya naik pangkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang reformasi pentadbiran yang dilaksanakannya sejak mentadbir Sabah.

Terdahulu, beliau menyerahkan geran tanah kepada wakil penduduk daripada 121 kampung di seluruh Kudat dalam majlis yang diadakan di Dewan Tun Musthapa di sini hari ini.

Dalam ucapannya di majlis itu, Mohd. Shafie berkata, pegawai kerajaan Sabah umpama ‘kerani’ setiap kali pergi ke Kuala Lumpur untuk bermesyuarat memandangkan rakan sejawat mereka di Semenanjung mempunyai gred yang lebih tinggi.

Justeru katanya, perubahan dasar pentadbiran Kerajaan Warisan ialah antaranya menyediakan peruntukan RM30 juta untuk pegawai kerajaan menyambung belajar di luar negara sehingga ke Universiti Cambridge untuk dinaikkan pangkat.

“Saya beritahu kalau pencen, pencenlah bagi peluang yang lain, semua ini orang baharu naik pangkat semua ini, 500 orang di bawah kerajaan Warisan.

“Dulu mereka tidak hantar pegawai-pegawai kita naikkan pangkat, kesian pegawai-pegawai kita kalau mesyuarat di kuala lumpur duduk satu meja mereka punya gred macam kerani yang pegawai dari Kuala Lumpur semuanya tinggi-tinggi pangkat,” katanya.