GPS Penentu Politik Nasional

 

KOMEN: Sebelum ini telah dimaklumkan bahawa Petronas bersetuju menyelesaikan isu  cukai jualan dengan kerajaan Negeri Sarawak.  Media arus perdana melaporkan bahawa  Petronas bersetuju akan pembatalan rayuan Petronas yang dijadualkan pada 17 Jun 2020.

Petronas dikatakan bersetuju membayar Cukai Jualan Negeri ( SST) sebanyak RM 2 bilion pada tahun 2019. Namun Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), sebuah  media rasmi Kerajaan Negeri Sarawak beberapa jam yang lalu telah menyatakan Syarikat Petroliam  Nasional Berhad (PETRONAS) masih belum membuat sebarang pembayaran cukai jualan ke atas produk  petroleum Sarawak.

UKAS juga melaporkan  Petronas  telah mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan dan ini bertentangan dengan apa-apa yang telah dilaporkan oleh media sebelum ini  bahawa Petronas akan membatal rayuan mereka.  Sudah tentu laporan ini mengejutkan kerana tempoh terdekat ini seolah-olah terdapat perubahan  situasi  hubungan Putrajaya-Petrajaya dalam isu petroleum di Sarawak.

MESYUARAT PERUNDING

Lanjutan daripada ini, Mesyuarat Perunding Perjanjian Malaysia 1963 mencapai kata sepakat bahawa sekiranya tiada keputusan dicapai melalui rundingan, maka kerajaan Negeri  Sarawak disarankan  agar meneruskan kes sivil  terhadap Petronas dan menegaskan kerajaan negeri tidak akan melayan sebarang pemotongan atau pengurangan jumlah cukai tersebut.

Jumlah dituntut oleh Kerajaan Negeri Sarawak ialah sebanyak RM2.878 bilion berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi  beberapa bulan lalu, manakala laporan beberapa minggu lepas dikatakan Petronas bersetuju membayar RM2 bilion sahaja. Jelas, bahawa terdapat usaha tarik tali dan perlengahan terus berlaku.

Sedangkan keputusan Mahkamah Tinggi pada Mac lalu menegaskan bahawa Sarawak mempunyai hak dan kuasa di bawah perlembagaan persekutuan untuk mengenakan cukai jualan ke atas produk petroleum.

ARAH PERIKATAN NASIONAL

Sudah tiga bulan Perikatan terbentuk dengan penyertaan GPS untuk melengkapkan sebuah penubuhan kerajaan yang menurut Ketua Menteri Sarawak adalah untuk menyelamatkan negara yang ketika itu, tidak ada Perdana Menteri akibat Tun Mahathir telah meletak jawatan dan saling persaingan kuasa apabila sudah meletak jawatan dan ingin kembali menjadi Perdana Menteri.

Dalam tempoh tiga bulan tersebut, isu Perjanjian Malaysia 1963 tersebut tidak panas sebagaimana sebelum penubuhan Perikatan Nasional. Sedangkan bagi rakyat Sarawak isu Perjanjian Malaysia 1963 menjadi pelindung kepada kedaulatan negeri Sarawak.

Ketika ini juga dilihat isu undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri oleh Dr Mahathir menjadi lebih dominan, menjadi isu nasional dan mendominasi wacana semasa  di peringkat nasional. Isu ini sebenarnya kurang relevan atau kurang bermakna tanpa melibatkan parti politik di Sarawak.

Justeru, apa pun perubahan kerajaan yang boleh berlaku pada masa kini  adalah kurang relevan tanpa penyertaan dan peranan Gabungan Parti Sarawak (GPS).  Tanpa GPS, mana-mana pihak sama ada Perikatan Nasional atau Pakatan Harapan tidak akan mampu membentuk kerajaan.

Sekali pun, jika PH kembali berkuasa, tanpa penyertaan GPS maka tidak ada jaminan kewujudan kerajaan yang stabil kerana hanya majoriti tipis. Hal ini pasti menyukarkan pelbagai kelulusan rang undang-undang di parlimen. Malah tawar-menawar, tarik menarik sokongan akan terus berlaku. Sudah tentu, ia membuang masa dan merugikan rakyat dan pembangunan negara.

GPS PENENTU

Dalam keadaan inilah GPS mempunyai peranan yang sangat besar  dan seolah-olah  menjadi wanita cantik yang sentiasa menjadi rebutan ramai sebagaimana analogi Ketua Menteri Sarawak baru-baru ini yang menunjukkan betapa PN dan PH inginkan GPS bersama mereka untuk mengukuhkan dan melengkapkan kerajaan yang sedia ada.

Perikatan Nasional kini mempunyai 114 kerusi parlimen termasuk GPS. Namun sekiranya  tanpa penyertaan GPS  maka kedudukan kerusi hanyalah mempunyai 96 kerusi parlimen sahaja, bermakna tanpa GPS Perikatan Nasional akan tumbang serta merta. Justeru, dapat dilihat pelbagai inisiatif dilakukan oleh Perdana Menteri untuk menambat hati wakil rakyat GPS termasuklah jawatan Menteri, Timbalan Menteri dan pelantikan sebagai pengerusi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

PH pula kini hanya mempunyai 107 kerusi parlimen dan sekiranya GPS menyertai PH maka terdapat 125 kerusi parlimen dan ini membolehkan  Pakatan Harapan kembali berkuasa. Namun ini tidak mudah berlaku kerana sudah pasti PN sebagai kerajaan mempunyai kuasa tawar menawar yang lebih tinggi.

TIADA MUSTAHIL DALAM POLITIK

Bagaimanapun, penyertaan GPS sebagai entiti PH Plus  tidak pula mustahil berlaku, kerana tidak ada yang mustahil dalam politik. Tambahan pula, penyertaan tersebut jika berlaku, bukanlah  menyertai sebagai komponen PH akan tetapi  entiti Plus dengan syarat-syarat tertentu yang menguntungkan rakyat dan negeri Sarawak seperti menyelesaikan isu minyak dan petroleum, royalti minyak, isu perjanjian Malaysia 1963 yang banyak lagi perlu diketengahkan dan diselesaikan.

Malah, dalam pilihan raya negeri Sarawak misalnya DAP disyaratkan tidak bertanding di kawasan lain, kecuali di kawasan menang mereka sahaja serta tidak masuk dalam kabinet Sarawak. Pelbagai syarat lain boleh dikemukakan ibarat mengemukakan syarat dalam cerita meminang Puteri Gunung Ledang!

Dengan kata lain, apa-apa yang kurang dapat ditawarkan oleh pihak lain atau kurang dapat diselesaikan atau menemui jalan buntu, itulah menjadi tawaran terbaik dengan tempoh tertentu dilaksanakan dengan diikat dengan perjanjian untuk memastikan komitmen terhadap rakyat dan negeri Sarawak.

HAKISKAN IMEJ DEPOSIT TETAP

Dalam konteks ini GPS mampu menjadi kingmaker atau penentu perubahan terbesar dalam apa-apa pembentukan kerajaan.  Sebelum ini, imej Sarawak hanya dikenali sebagai deposit tetap Barisan Nasional. Istilah deposit tetap tersebut agak tidak sesuai yang hanya memancarkan tidak dinamik, tidak aktif dan digunakan apabila diperlukan sahaja.

BACA BERITA PENUH: –

https://sarawakvoice.com/2020/06/14/gps-penentu-politik-nasional/
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.