Giliran Manis Muka Ditawar Lompat Parti

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Selepas beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Warisan Sabah (Warisan) dan DAP Sabah, kini ADUN Bugaya, Manis Muka Mohd. Darah mendakwa didatangi ejen menawarkan ‘langit dan bumi’, sekiranya bersetuju meninggalkan parti sedia ada.

Beliau yang ditemui media semalam berkata, pelbagai tawaran ‘hebat’ dilakukan termasuk jawatan dalam kerajaan negeri dengan harapan Ketua Menteri Sabah (Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal) dan Warisan dapat digulingkan.

“Tidak cukup dengan tawaran dan ejen tersebut, mereka turut menyebarkan berita palsu termasuk mendakwa ramai ahli berhormat Warisan sudah menandatangani surat persetujuan untuk keluar parti.

“Malah mereka juga sanggup memutar belit kenyataan termasuk mereka cerita seperti menggunakan nama saya dalam senarai kabinet bayangan kerajaan baharu Sabah sebelum ditularkan di media sosial,” katanya.

Turut tersebar berita palsu kononnya beliau ditemuramah oleh sebuah stesen televisyen tempatan berkaitan pengumuman keluar parti.

Menurut Manis Muka, kehadiran ejen berkenaan menyebabkan dia kini jarang berada di rumah bagi mengelak diganggu pihak berkaitan dipercayai mempunyai kaitan dengan parti yang bercita-cita merampas pentadbiran negeri.

“Sehubungan itu, saya membuat laporan polis berkaitan penyebaran berita palsu dan kehadiran ejen berkaitan untuk tindakan lanjut.

“Selain saya, ramai lagi ADUN dan Ahli Parlimen dari Warisan turut diganggu ejen berkenaan, namun, kami enggan berpaling tadah membelakangi mandat rakyat pada pilihan raya umum lepas,” katanya.