GiatMara, Penjara Tawau Jahit PPE, Bantu KKM

Pegawai penjara menerima kain daripada petugas KKM untuk dijahit oleh penghuni Penjara Tawau.

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Dua agensi kerajaan di daerah ini menjalinkan kerjasama inter-agensi bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menyediakan pakaian pelindung diri (PPE).

Pengarah GIATMARA Sabah Sapli Ag Damit berkata, sebagai agensi yang menerima dana daripada kerajaan, menjadi tanggungjawab pihaknya untuk menyumbang kepakaran bagi membantu petugas barisan hadapan khususnya di hospital dan klinik.

“Seramai enam tenaga pengajar dari GiatMara Tawau bekerja sejak 30 Mac lalu  menjahit PPE.

“Dengan kemahiran tenaga pengajar dalam bidang jahitan, saya berharap agar kami dapat membantu petugas KKM yang berusaha membanteras Covid-19,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambah Sapli, ketika ini pihaknya turut merancang melakukan aktiviti yang sama di Kota Kinabalu dalam membantu pihak hospital di sana.

“Kain dibekalkan sendiri oleh KKM manakala kami bertugas mengukur, memotong dan menjahit bahan tersebut untuk dijadikan satu set lengkap PPE,” katanya.

Selain GiatMara, Penjara Tawau turut tidak ketinggalan membantu barisan hadapan petugas Covid-19 dalam menyediakan PPE.

Pengarahnya Penolong Kanan Komisioner Penjara Faisal Mohamed Noor berkata, seramai 20 penghuni terbabit dalam menjahit PPE di Bengkel Jahit Penjara Tawau sejak 20 Mac lalu.

“Sebelum ini, sebanyak 50 pasang pakaian (scrub) berjaya disiapkan untuk digunakan petugas di Klinik Kesihatan Jenis II.

“Hari ini, kami sekali lagi diberi tugas untuk menyiapkan 500 helai PPE yang dijangka siap dalam tempoh dua minggu lagi,” katanya.

Tambahnya, Penjara Tawau dan penghuni berbesar hati dapat menyumbang tenaga dalam membantu mengatasi kekurangan bekalan PPE untuk petugas kesihatan di daerah ini.