Geran Tanah Untuk 10 Kampung Di Pitas Akan Dilihat

Dari kiri, Calon Warisan N.03 Pitas Sh Azman Sh Along dan Presiden Warisan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal di Majlis Bersama Rakyat DUN Pitas pagi tadi.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PITAS: Usaha mengeluarkan tanah perkampungan yang berada dalam kawasan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan terus dilaksana sekiranya Warisan Plus terus memerintah.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, permohonan kampung ini sudah agak lama dan ini sebahagian daripada proses yang sedang dilakukan kerajaan Warisan.

“Ini untuk membolehkan beberapa perkampungan di Sabah sama ada di Sandakan, Ranau atau Kota Marudu yang terletak di kawasan tanah GLC akan dikeluarkan.

“Kita kena bagi lot-lot tanah untuk kepada penduduk kampung. Kita sudah uruskan lebih 10,000 ekar (permohonan) tapi ada yang tidak sempat kita agihkan,” katanya selepas Majlis Bersama Rakyat DUN Pitas, hari ini.

Ketua Menteri berkata, untuk pekebun kecil getah yang turut berada dalam kawasan tanah GLC akan diteliti secara mendalam.

Kampung-kampung yang berada di kawasan tanah GLC, Borneo Samudera adalah Kampung (Kg) Kalumpang, Kg Feri,Kg Ranggu, Kg Sibaung, Kg Pondoi, Kg Bawang,Kg Saab Perpaduan, Kg Saab, Kg Kemiri dan Kg Kerasik.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Shafie berkata, dalam tempoh dua tahun Warisan memerintah, geran-geran tanah yang berpuluh tahun dipohon berjaya diserahkan kepada orang kampung.

Namun, Barisan Nasional (BN) yang memerintah berpuluh tahun hanya mengambil balak dan tanah orang kampung.