Geran Komunal Zaman BN Bertujuan Halalkan Pembalakan Syarikat Kroni

MA’MUN SULAIMAN

Oleh AZIS KHAN
KOTA KINABALU: Geran komunal yang dikeluarkan semasa zaman pemerintahan UMNO sebenarnya strategi licik untuk menghalalkan aktiviti pembalakan secara berleluasa.

Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman berkata, geran komunal hanya meletakkan nama pemohon di dalamnya tetapi mereka tidak dibenarkan menguruskan tanah berkenaan kerana syarikat kroni telah dilantik untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan hutan.

Katanya, sebab itulah jika melihat kepada geran komunal yang dikeluarkan, kawasan yang terlibat adalah hutan dara yang kaya dengan kayu-kayan atau hutan yang belum pernah dibalak sebelum ini.

“Modus operandi mereka adalah syarikat kroni Barisan Nasional (BN) yang dilantik akan dibenarkan melakukan pembalakan menggunakan lesen Borang 2B.

“Alasan kononnya sebahagian daripada hasil pembalakan akan dibelanjakan untuk pembangunan geran komunal, namun jarang sangat ditunaikan,” katanya.

Semalam, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balung, Datuk Osman Jamal berkata, geran komunal sebenarnya untuk mengatasi masalah tanah rakyat Sabah.

Ma’mun berkata, sebab itulah banyak tanah yang kononnya akan diberikan status geran komunal sebelum ini tiba-tiba sahaja ditinggalkan selepas balak yang ada diambil kerana tujuan utama BN pada masa itu ialah mengaut keuntungan daripada pembalakan.

“Itulah sebenarnya cara BN pimpinan Tan Sri Musa Aman menghalalkan pembalakan melalui penggunaan geran komunal.

“Akhirnya rakyat yang memohon tanah tidak mendapat apa-apa, mereka terpaksa menunggu berpuluh tahun,” katanya.

Sementara itu, Ma’mun turut meminta Osman memberi penjelasan kenapa kerajaan BN memberikan kontrak penerokaan hutan di bawah FMU sehingga 100 tahun kepada syarikat yang mempunyai kaitan dengan Musa.

“Dia kata itu untuk melindungi hutan, mungkin betul tapi siapa dapat manfaatnya dan kenapa sampai 100 tahun?