Geran Komunal Dimansuh; Penerima Diberikan Tanah ‘Native Title’

12061
SHAFIE APDAL: Pemberian geran milik individu ini akan diberikan kepada orang yang sepatutnya dan nama setiap individu dalam geran komunal akan diletakkan dalam geran individu. – Gambar ihsan Jabatan Ketua Menteri

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Pemansuhan geran komunal bagi permohonan ‘native title’ di Sabah bakal digantikan dengan geran milik individu dalam masa terdekat ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal.

Usaha ini membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam melindungi hak orang asal.

Katanya, pengeluaran geran ‘native title’ individu kepada penerima-penerima geran komunal terdahulu, akan dilakukan dengan menggunakan mekanisme yang akan memastikan tanah ‘native title’ kekal milik individu dan generasi berikutnya.

Perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Kabinet Negeri yang diadakan di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, di sini hari ini (Rabu).

Antara syarat pengeluaran geran milik individu ini termasuklah pemilik tanah tersebut tidak boleh menjual mahupun mencagarkan tanah berkenaan kepada pihak bank. Tanah itu hanya boleh dipindahmilik dalam kalangan keluarga.

Shafie berkata, ia akan mengelakkan berlaku pertindihan pemilikan ‘native title’.

Tambahnya, pemberian geran milik individu ini akan diberikan kepada orang yang sepatutnya dan nama setiap individu dalam geran komunal akan diletakkan dalam geran individu. Maka, tiada geran berkumpulan seperti dahulu.

Untuk tanah yang terlibat dalam usahasama dengan syarikat swasta serta Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), ia hanya boleh dilakukan melalui perundingan semula dengan GLC terbabit.

“Jika dahulu urusan tanah melalui usahasama yang dilakukan melibatkan pemilikan berkumpulan tetapi kini mereka perlu berdepan dengan setiap individu,” jelasnya.

Menurutnya, sehingga kini sebanyak 96 geran komunal melibatkan 13,789 orang pemilik telah dikeluarkan. Ia merangkumi 152, 268.23 ekar tanah adat di 271 buah kampung di 15 buah daerah.

Daripada jumlah itu, 45 geran komunal dikeluarkan tidak melibatkan usahasama dengan syarikat dan selebihnya 51 geran komunal melibatkan usahasama bersama GLC dan syarikat swasta.

NOTA: Dalam laporan awal, dinyatakan penerima Geran Komunal akan diberikan tanah adat. Bagaimanapun, istilah yang sepatutnya adalah tanah “Native Title”. Sebarang kemusykilan amat dikesali.