George Mahu Jadikan Kampung Pukat Pusat Pelancongan

Oleh TERTIA JACOB & JENNIFER TUGUNG
SANDAKAN: Calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), George Hiew berazam untuk menjadikan Kampung Pukat dan pantai Pasir Putih di sini sebagai pusat pelancongan baharu jika diberi peluang menjadi wakil rakyat semula di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karamunting, 26 September depan.

GEORGE HIEW

George ketika ditemui berkata, Kampung Pukat di Tanah Merah adalah kawasan bersejarah yang menjadi perkampungan masyarakat Cina didiami sejak 100 tahun lalu dan suatu ketika dahulu pernah dikenali sebagai kawasan terkaya di negara ini kerana menjadi pusat pengumpulan kayu balak.

Katanya, kewujudan banyak kilang papan di kawasan itu juga memberi peluang pekerjaan kepada penduduk khususnya belia tanpa perlu ke tempat lain.

“Bagaimanapun, sekarang kayu balak sudah tiada, manakala minyak sawit dan sektor pemprosesan hiliran semua di Semenanjung.

“Sebab itu, apabila saya menang PRU lalu, saya berusaha untuk bangunkan semula ekonomi kawasan ini,” katanya.

George berkata, antara usaha yang diambil termasuk membersihkan sampah di pantai pasir putih menggunakan jengkaut, menambah landskap selain menyediakan kemudahan termasuk lampu solar, sekali gus memberi pilihan kawasan riadah kepada penduduk setempat.

Katanya, beliau yakin apabila Lapangan Terbang Sandakan dinaik taraf menjadi lapangan terbang antarabangsa kelak, pelancong yang datang ke daerah ini bertambah dan kedua-dua lokasi berkenaan berpotensi menjadi tumpuan pelancong.

“Sekarang ekonomi yang paling cepat (beri pulangan kepada pendapatan) adalah sektor pelancongan.

“Sebab itu, rakyat perlu beri peluang kepada WARISAN untuk selesaikan semua perancangan ini,” katanya.

George berkata, jika semua perancangan itu dapat direalisasikan, ia bukan saja membantu melonjakkan pendapatan negeri ini, malahan memanfaatkan penduduk sekitar terutama daripada segi penyediaan peluang pekerjaan.